Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.4 peratus dengan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.2 peratus pada Jun 2023.

Walau bagaimanapun, hanya enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.0%), Pahang (2.9%), Putrajaya (2.8%), Selangor (2.7%), Perak (2.7%) dan Melaka (2.7%).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman bukan alkohol, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wil yah Persekutuan Putrajaya (7.1%) diikuti oleh Sarawak (6.4%), Selangor (6.1%), Pahang (5.4%) dan Melaka (5.0%).

“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman bukan alkohol nasional iaitu 4.7 peratus pada Jun 2023,” katanya di sini.

Inflasi teras mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan yang tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan
perkhidmatan yang tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan meningkat 3.1 peratus (Mei 2023: 3.5%).

Kenaikan ini didorong terutamanya oleh peningkatan perlahan kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang mencatatkan kenaikan 6.0 peratus (Mei 2023: 7.1%) dan restoran & hotel (5.4%) (Mei 2023: 6.7%).

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pendapatan bawah RM3,000, meningkat 2.7 peratus (Mei 2023: 3.1%) disumbangkan oleh kumpulan makanan
& minuman bukan alkohol sebanyak 4.1 peratus dan terutamanya direkodkan oleh subkumpulan daging (5.5%), diikuti oleh susu, keju & telur (5.4%) dan beras, roti &
bijirin lain (4.7%).

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Jun 2023 meningkat 0.2 peratus berkadaran sama seperti direkodkan pada Mei 2023 dipacu terutamanya oleh perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (0.3%), kesihatan (0.2%) dan pengangkutan (0.2%).

Sementara itu, inflasi bagi suku tahun kedua 2023 meningkat 2.8 peratus kepada 130.2 berbanding 126.6 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding pada suku tahun pertama 2023. – MalaysiaGazette