Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali Radhi OAG.

PETALING JAYA – Penyanyi, Radhi OAG nafi membayar RM300,000 kepada bekas isterinya bagi menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Sebaliknya Muhammad Radhi Razali, 46, belum menyatakan persetujuan terhadap sebarang terma yang dinyatakan oleh Nur Shahira Ayu Zahiri, 29.

“Yang RM300,000 itu saya nafikan yang RM5,000 dan RM500 pun saya nafi itu antara dia dan peguam yang cadangkan tapi saya tidak sahkan lagi.

“Saya tidak ada paksa dia tarik laporan polis itu. Saya tidak mahu nampak seperti saya bayar dia untuk tarik kes ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majistret hari ini.

Sehubungan itu. Radhi meminta supaya pihak mahkamah memberikan satu tempoh masa supaya beliau dan bekas isteri boleh berbincang dengan lebih lanjut untuk mencapai kata sepakat.

Dalam masa yang sama, beliau tidak mahu wujud campur tangan daripada orang lain boleh menjejaskan perbincangan di antara mereka berdua.

“Kalau boleh saya nak selesaikan perkara ini dengan Ayu sahaja tidak mahu ada campur tangan orang lain bila ada campur tangan orang lain ada vibes yang tidak sesuai.

“Apa yang Ayu sebut saya nafikan saya tidak pernah sebut,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Ayu mendakwa bekas suaminya bersetuju dengan permintaannya untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

Sementara itu, beliau ketika ditemui mengesahkan belum menarik balik laporan polis.

Jelasnya, ada beberapa perkara yang masih memerlukan perbincangan yang terperinci di antara mereka berdua.

“Saya belum tarik kes sebab ada beberapa perkara yang kena selesaikan sebab ada beberapa perkara yang belum jelas di antara saya dan Radhi dan peguamnya.

“Peguamnya minta tunda lagi kes untuk ruang perbincangan,” ujarnya.

Terdahulu, Radhi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ayu di parkir Emporis Menara di Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April dua tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette