Dr. Mujahid bersama Salahudin, sehari sebelum Menteri KPDN itu dimasukkan ke hospital kerana muntah-muntah.

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub seorang yang mempunyai citarasa berjenaka dalam banyak kisah dikongsinya bersama walaupun pada majlis rasmi beliau kelihatan serius dalam penampilannya.

Malah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu merupakan sahabat setia yang diberi penghormatan ketika berkhidmat bawah kepimpinannya sama ada dalam Pas mahu pun Parti Amanah Negara (Amanah).

Demikian kongsi Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang masih terkejut dengan pemergian timbalan presiden partinya itu ke rahmatullah semalam.

“Beliau seorang yang senantiasa mencari titik perdamaian sama ada dalam masalah dalaman parti mahupun di luar parti dan bersedia pula menjadi duta damai meredakan konflik antara kepimpinan mahupun dengan lawan.

“Kali terakhir saya bersamanya pada 20 Jun lalu dalam pertemuan santai makan tengah hari meraikan kami dari Amanah yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

“Turut bersama masa itu, Senator Hasbi Muda dan Senator Datuk Wira Dr. Hatta Ramli. Kami berbual mesra, tiada yang serius hanya makan dan tawa mengenangkan sejarah bersama dari Pas hingga ke Amanah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pukul 9.23 malam tadi.

Khabar sedih itu dimaklumkan anak perempuan Allahyarham, Fatihah Salahuddin dalam hantaran di laman Facebook.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.

Menurut bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, beliau sempat bermusafir beberapa kali dengan Salahuddin dalam dan luar negara bagi tujuan memperkenalkan perjuangan sama ada bersama Pas mahupun Amanah.

“Kami berkongsi perjalanan spiritual bersama ketika mengharungi saat kepimpinan yang diuji dengan pelbagai kerenah dalaman dan luaran parti.

“Beliau seorang yang menjaga waktu solat dan konsisten dengan solat dhuha. Sesekali beliau ajak sembang soal yang membangkitkan jiwa, soal zikir dan alam kerohanian guna untuk jadi vitamin kepada permasalahan kepimpinan yang kami kongsi bersama sesama rakan kepimpinan.

“Sedih dan pilu mengenangkan sahabat bernama Salahudin Ayub yang pergi pada saat kepimpinannya diperlukan untuk mengharungi medan pertarungan PRN. Allah lebih mengetahui dan takdir Allah lebih besar dari perasaan mana-mana hambaNya,” ujar beliau.

Menurut Mujahid lagi, allahyarham meninggalkan legasi Menu Rahmah yang memanfaatkan kepada golongan memerlukan dan sentiasa pula memerah kudratnya untuk memenuhi amanah meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Semoga doa mereka mengiringi sahabatku Salehudin sebagai bekalan amal solehnya mengadap Rabbul I’zzah. Amin.

“Kami akan merindui persahabatan ini, semua yang mengenali beliau akan bersetuju dengan saya, Salehudin adalah seorang yang jujur dalam kata-katanya dan sangat menghormati kawan dan lawan dan setia dengan janjinya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast