KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, K Parthiban menafikan telah dipecat keahlian atau digantung parti kerana menyertai kempen Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok berkata, sehingga kini beliau tidak menerima surat atau notis berkaitan penggantungan dan pemecatan keahlian parti.
“Saya tidak pasti dari mana datangnya sumber parti mendakwa yang telah digantung dan dipecat parti. Saya juga tidak keluar parti atau sudah menyertai PN seperti dakwaan pihak tertentu.
“Saya hanya hadir sebagai penyokong kepada Tan Sri Noh Omar yang merupakan mentor kepada saya. Saya tidak sertai PN,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Hari ini, sebuah portal mendakwa Parthiban digantung serta dipecat keahliannya dari parti itu selepas dilaporkan menyertai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkempen untuk PN.
Pada Ahad lalu, Parthiban hadir pada majlis pelancaran Sekretariat Kelab Penyokong PN (India) di Tanjung Karang yang turut dihadiri Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Tambah Parthiban, seperti biasa beliau menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC baru-baru ini namun perkara berkaitan penggantungan serta pemecatannya tidak dibangkitkan. – MalaysiaGazette