Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) terpaksa merestui penindasan Israel terhadap rakyat Palestin kerana pengaruh kuat kaum Yahudi di seluruh dunia.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kaum Yahudi mencipta dan menguasai sistem perbankan dan mereka juga mengawal kebanyakan media di Barat.

“Para saintis mereka mencipta senjata nuklear dan senjata lain. Mereka mencipta ideologi dan sistem nilai yang menghentikan antisemitisme.

“Jika semua orang adalah sama, bagaimana dunia boleh mendiskriminasi orang Yahudi.

“Akibatnya mereka telah menjadi sangat berpengaruh di Eropah dan Amerika sehingga negara-negara ini telah menjadi pro-semit dan menyokong bahkan tindakan jenayah oleh Israel,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab surat daripada wartawan kanan akhbar Yahudi, Felix Pope yang melemparkan beberapa soalan berkaitan artikel UK Muslim leaders ‘inspired’ by antisemitic ex-Malaysian prime minister (Pemimpin Islam UK ‘mendapat ilham’ dari bekas perdana menteri Malaysia yang antisemitik).

Artikel tersebut disiarkan dalam akhbar pro-Yahudi The Jewish Chronicle pada 13 Julai lalu susulan pertemuan Mahathir dengan pemimpin Islam di United Kingdom.

Dr Mahathir turut menjawab pengharaman filem The Schindler List arahan Steven Spielberg yang juga berketurunan Yahudi ketika era pentadbiran beliau.

“Schindler List sekali lagi adalah tentang usaha untuk mendapatkan simpati dunia atas penderitaan Yahudi semasa holocaust. Saya bersimpati ketika itu.

“Tetapi selepas anda merampas tanah Palestin, mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka, menindas mereka, memenjarakan mereka, membunuh mereka, saya telah kehilangan rasa simpati yang saya miliki untuk anda.

“Saya menolak propaganda Yahudi mengenai penderitaan anda semasa holocaust,” tegasnya.

Tambah beliau, apa yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Nazi Jerman ke atas Yahudi semasa perang dunia kedua.

Katanya, selama ratusan tahun tidak ada peperangan antara Yahudi dengan orang Arab.

Namun apabila pendatang Yahudi merampas tanah Arab dan mengusir mereka untuk mewujudkan negara Israel masalah bermula.

“Ya, saya mempunyai kawan Yahudi. Saya tidak akan menamakan mereka. Mereka adalah orang yang baik. Tetapi hanya kerana saya mempunyai kawan Yahudi, tidak bermakna saya tidak boleh mengutuk perbuatan salah Yahudi, penindasan Yahudi dan rampasan Yahudi ke atas tanah Arab,” tegas Dr Mahathir.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.