Thursday, May 2, 2024
Home Sukan Zaha sertai Galatasaray

Zaha sertai Galatasaray

Wilfried Zaha. Foto Sky Sports.

LONDON – Penyerang sayap, Wilfried Zaha melengkapkan perpindahannya ke Galatasaray dengan menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama pasukan gergasi Turki itu.

Zaha merupakan pemain berstatus ejen bebas selepas kontraknya dengan Crystal Palace tamat bulan lalu.

Dia sebelum ini turut pernah mendedahkan pergi ke Istanbul untuk mengadakan perbincangan dengan pasukan itu selepas dilaporkan menolak pendapatan £200,000 (RM 1.171 juta) seminggu untuk kekal di Selhurst Park.

Menerusi kenyataan dalam laman web rasmi pasukan itu, Galatasaray mendedahkan  mereka bersedia untuk membayar yuran pemilikan bernilai £2 juta (RM11.71 juta) kepada pemain berusia 30 tahun berkenaan selain pendapatan tahunan bernilai £3.75 juta (RM21.96 juta).

Pengumuman itu dilakukan sehari selepas Zaha menerusi satu kiriman Instagram, mengucapkan selamat tinggal kepada Palace yang disertainya sejak berusia 12 tahun dan menjaringkan 90 gol daripada 458 penampilan.

Zaha meninggalkan Place untuk menyertai Manchester United pada 2013 tetapi kembali ke London secara pinjaman selama dua musim sebelum kembali mengikat kontrak tetap pada 2018.

Pemain kebangsaan Ivory Coast itu yang pernah mewakili England sebanyak dua kali sebelum menukar kerakyatannya sebelum ini turut dikaitkan untuk menyertai Lazio, Fenerbahce dan Al-Nassr. – Agensi