MANILA – Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. memberi jaminan akan melindungi dan mempromosi hak serta kebajikan pekerja Filipina di luar negara (OFW) yang berada di Malaysia, selain berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara tuan rumah.
“Terdapat ramai warga Filipina di sini. Kami perlu memastikan anda dijaga dengan baik, mempunyai mata pencarian yang baik, dan mempunyai peluang yang baik.
“Itulah sebabnya kami berada di sini, memperkukuh hubungan antara Filipina dan Malaysia,” kata Marcos pada jamuan makan malam dan bertemu dengan diaspora Filipina di sini pada Selasa, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Menurut angka yang dikeluarkan oleh Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, terdapat hampir sejuta warga Filipina di Malaysia, kebanyakannya OFW.
Marcos turut mengiktiraf peranan penting OFW dalam memupuk hubungan baik dengan negara lain dan mengekalkan reputasi baik Filipina di luar negara.
“Sebab itu kami perlu berterima kasih kepada anda kerana reputasi Filipina semakin bertambah baik kerana prestasi baik anda. Untuk anda warga Filipina di Malaysia, di Asia Barat, Eropah atau Amerika dan di tempat lain di dunia,” katanya.
Presiden Filipina itu juga berkata selain daripada sumbangan kepada Filipina melalui kiriman wang, warga Filipina di luar negara turut menjadi penggiat utama dalam pertumbuhan ekonomi negara tuan rumah.
Beliau memberi jaminan kepada masyarakat Filipina di Malaysia bahawa pentadbirannya akan melindungi kepentingan dan menangani isu yang mereka hadapi.
Marcos berkata pentadbirannya memberi tumpuan kepada usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, menurunkan inflasi dan meningkatkan produktiviti pertanian untuk memastikan keterjaminan makanan.
“Kami memerlukan pelaburan yang besar dan untuk itu kami pergi ke luar negara untuk menarik pelaburan ke Filipina,” katanya.
Marcos tiba di Kuala Lumpur pada petang Selasa untuk mengadakan lawatan negara.
Semasa di Malaysia, Marcos akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu bagi mengenal pasti bidang sinergi baharu dan mengukuhkan pertukaran rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.
Beliau juga dijangka menggerakkan kemajuan pertanian, pelancongan dan kerjasama ekonomi digital antara Manila dan Kuala Lumpur.
Marcos turut dijadual bertemu dengan komuniti perniagaan Malaysia.- BERNAMA-PNA