Dominic Lau (tengah) bercakap pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai menafikan dakwaan beliau menggunakan ‘kabel’ untuk mendapatkan kerusi majoriti Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Sebaliknya, beliau menegaskan, proses pemilihan calon PRN15 berlaku dengan telus sebelum keputusan sebulat suara diputuskan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).

“Mana ada kabel…Proses memilih calon itu adalah satu proses yang kita katakan telus apabila peringkat negeri beri cadangan kerusi serta calon sebelum ia diputuskan oleh Majlis Presiden PN.

“Proses yang sama kita lakukan pada PRN Johor, Melaka serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.

Dominic.

“Memang cadangan, pandangan daripada bahagian dan pusat berbeza tapi semuanya akan berbalik kepada keputusan Majlis Presiden,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Akaun Bersumpah (SD) dan Aku Janji Integriti membabitkan 36 calon Gerakan di empat negeri yang terlibat dalam PRN15.

Semalam, sekumpulan ahli akar umbi Pas Bayan Lepas mengadakan perhimpunan aman membantah pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas, selain mendakwa beliau menggunakan kedudukan sebagai Presiden untuk bertanding kerusi majoriti Melayu bagi mendapat kemenangan mudah.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengapa pencalonan beliau tidak diumumkan pada Majlis Pengumuman Calon PN Pulau Pinang semalam, Dominic memaklumkan ia atas faktor protokol.

“Sepatutnya Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hadir untuk pengumuman calon semalam namun atas kekangan tertentu beliau tidak dapat hadir.

“Susulan itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee mengumumkan senarai calon dan N38 (DUN Bayan Lepas) tidak diumumkan kerana dari segi jawatan saya sebagai Timbalan Pengerusi PN kurang baik untuk beliau umumkan.

“Bagaimanapun, hari ini Hamzah sudah umumkan pencalonan saya untuk kerusi Bayan Lepas menerusi kenyataan media dan ia dikira sebagai keputusan serta kenyataan rasmi,” jelasnya.

Terdahulu, nama Dominic Lau, 56, dicalonkan bagi kerusi Machang Bubuk berdasarkan satu senarai calon terkini yang dikongsi kepada media menerusi kumpulan WhatsApp Pas Pulau Pinang hari ini.

Manakala Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim dinamakan sebagai calon DUN Bayan Lepas.

Semalam, PN Pulau Pinang mengumumkan 39 calon PRN15 untuk dipertaruhkan di 40 kerusi DUN negeri.

Bagaimanapun, kerusi bagi DUN Bayan Lepas tidak diumumkan dan dalam senarai yang diedarkan kepada media, nama Dominic dicalonkan bagi kerusi tersebut. – MalaysiaGazette