Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh (duduk, tengah) bercakap pada sidang media khas berkenaan Pilihan Raya Negeri ke-15 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Selagi belum tiba hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, sesiapa sahaja termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh mengumumkan untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau sendiri boleh membuat perkara yang sama seperti Azmin kerana hanya pada Sabtu ini sahaja akan menentukannya.

“Semua orang boleh umum bertanding, selagi tak 29 Julai, semua boleh bertanding, kita mengalu-alukan pertandingan secara sihat.

“Mana tahu tiba-tiba esok saya pula umum nak bertanding, tapi tak bolehlah sebab saya jadi ADUN (Merlimau),” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Semalam, Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor diumum sebagai calon di kerusi DUN Hulu Kelang dalam PRN ke-15 pada 12 Ogos ini.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bakal bertembung dengan Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Keputusan itu bertentangan dengan pendirian bekas Timbalan Presiden PKR itu yang mengatakan mahu berehat daripada dunia politik.

Ini kerana Azmin telah berkhidmat semalam tujuh penggal, masing-masing tiga penggal sebagai ahli Parlimen Gombak, Dun Bukit Antarabangsa (3) dan Dun Hulu Kelang (1). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast