KUALA LUMPUR – Exsto Malaysia Sdn. Bhd. memenangi Anugerah Bintang Kelestarian sempena Pameran Bangunan dan Rekaan Dalaman (ARCHIDEX) Edisi Ke-22 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Rabu lalu selama empat hari.
Anugerah itu diberikan kepada Exsto telah berjaya mengeluarkan produk paling mampan pada pameran itu di mana Exstopod Plus keluaran terbaharunya mempunyai 98 peratus kandungan yang boleh dikitar semula.
Selain itu, produk itu juga memiliki Pensijilan UL Green di mana produk melepaskan bahan kimia yang rendah dan mematuhi piawaian pelepasan kimia utama sebagai komitmen terhadap persekitaran dalaman lebih sihat.
Exstopod Plus juga selamat digunakan kerana bebas daripada sebatian organik volatil (VOC) dan mempunyai sistem pengudaraan yang cekap.
Pemilihan itu dibuat oleh penganjur, C.I.S dan panel hakim Archidex.
Pengarah Urusan, Exsto Malaysia, TS Yong berkata, pihaknya merasa bertuah kerana dipilih memenangi Anugerah Bintang Kelestarian pada pameran yang penuh berprestij.
“Kami berharap masyarakat terutamanya pengguna akan terus menyedari betapa pentingnya kelestarian kepada kehidupan kita seharian.
“Kami juga komited untuk terus mengeluarkan produk hijau di pasaran sebagai tanggungjawab bersama agar pembangunan lestari dapat dikekalkan serta penggunaan sumber alam dapat dikitar semula.
“Ini dibuktikan apabila ketika Exsto Malaysia telah mengambil satu pokok angkat setiap tahun di Taman Tugu dan mulai Ogos ini, sebanyak RM100 akan disumbangkan kepada Taman Tugu untuk setiap produk yang dibeli dan Sijil E-Sijil Adopt a Tree akan didedikasikan kepada pelanggan.
“Menerusi inisiatif ini, kami berhasrat untuk memberi kesan positif kepada ekosistem tempatan dan menyumbang kepada matlamat yang lebih besar iaitu pemuliharaan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.
Exstopos Plus merupakan produk generasi ketiga yang dikeluarkan Exsto Malaysia iaitu pod privasi akustik pertama di Malaysia.
Sementara itu, ARCHIDEX adalah anjuran bersama antara C.I.S dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) yang akan diadakan di bawah Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) sebagai sebuah acara perniagaan yang menghimpunkan pengunjung profesional seni bina dan bangunan serta pemimpin industri dari seluruh dunia dalam pameran dan persidangan.
Ia juga adalah acara seni bina, reka bentuk dan inovasi yang sering dinantikan pelbagai golongan termasuk arkitek, pereka dalaman, jurutera, pemaju, pengilang dan pembekal termasuk peniaga industri dan bukan industri.
Lebih 36,000 pengunjung menghadiri ARCHIDEX yang diadakan selama empat hari yang menampilkan sebanyak 1,400 pameran oleh seramai 600 ahli pameran tempatan dan antarabangsa termasuk dari 13 negara. – MalaysiaGazette