Badrul Hisham Shaharin (tengah) dan Zool Amali Hussin (dua dari kiri) pada sidang media di Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan akan membuat laporan polis di seluruh negeri ini berhubung dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, tindakan itu turut diambil dengan kerjasama Proklamasi Orang Melayu Negeri Sembilan.

Menurut beliau, laporan polis tersebut akan dibuat oleh penggerak MN dan Proklamasi Orang Melayu di setiap kawasan Parlimen dan dimulakan dengan Seremban serta Rembau hari ini.

“Kita melahirkan rasa kesal penggunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintah di peringkat negeri atau Pusat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Penyelaras Proklamasi Orang Melayu Negeri Sembilan, Zool Amali Hussin.

Dalam perkembangan berkaitan, Badrul Hisham menyeru semua pengundi di negeri ini untuk menyertai protes PRN bagi menterjemahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan.

Beliau memberitahu, PRN Negeri Sembilan boleh dijadikan platform untuk rakyat meluahkan perasaan mereka dalam isu-isu berkaitan mereka khususnya dari segi peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan hari ini ada kepincangan dan ada perasaan tidak puas hati yang hanya boleh diterjemahkan dengan rungutan tetapi realitinya melalui proses pilihan raya,” jelasnya.

Badrul Hisham turut mengumumkan, Zool Amali kini diberi peranan untuk memangku tugas Penyelaras Proklamasi Orang Melayu Negeri Sembilan.

Beliau berkata, ia adalah berikutan tindakan penyandang jawatan tersebut, Mohamed Hafis Baharuddin yang bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

“Memang telah diputuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri kita ingin menyeru rakyat supaya mengundi Perikatan Nasional (PN) kali ini.

“Dia telah bertanding sebagai calon bebas, jadi kita mengucapkan selamat maju jaya kepada kempennya di DUN Sikamat,” katanya. – MalaysiaGazette