Mohd Hatta Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang didapati hadir ke penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15 di enam negeri sebagai calon, pencadang dan penyokong tanpa kebenaran parti akan menyebabkan mereka dilucutkan keahlian parti serta-merta.

Ia berdasarkan Fasal 6 Perlembagaan Parti Amanah Negara (2022), kata Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Menurutnya, dalam pilihan raya ini, Amanah telah menghantar 31 nama untuk bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH) dengan semangat Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).

Katanya, kerjasama antara PH dan BN juga semakin kukuh apabila rundingan dan agihan kerusi telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Objektif yang mahu dicapai dalam rundingan ini adalah memastikan tiada pertembungan berlaku di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Dalam mana-mana kerjasama dan rundingan, prinsip ‘menang-menang’ sentiasa menjadi keutamaan.

“Namun begitu, bagi mencapai prinsip ini, sudah tentu setiap pihak yang terlibat perlu melakukan pengorbanan bagi memastikan kemenangan yang lebih besar dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Hatta berharap agar semua calon dan jentera Amanah dapat memberikan tumpuan untuk memastikan semua kerusi yang ditandingi dapat dimenangi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast