ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN), Baddrol Bakhtiar terkejut apabila kad jemputan perkahwinan yang diadakan lapan tahun lalu masih disimpan oleh seorang individu.
Bekas Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sabah FC itu turut terharu kerana kad tersebut berada dalam keadaan elok yang kini menjadi milik seorang pengusaha kedai runcit, Soon Hin di Pekan Jeniang.
“Terharu saya jumpa Uncle Eng Key ni. Dia kata kat saya, dia masih simpan kad jemputan majlis perkahwinan saya dan isteri. Terkejut saya. Ya lah, dah 8 tahun usia perkahwinan kami. Kad pun duk elok lagi.
“Uncle Eng ni pengusaha kedai runcit Soon Hin di Pekan Jeniang. Sangat baik dan bersungguh meraikan saya di kedainya tadi. Lama juga saya kat sini, dengar ceritanya,” tulis media sosial miliknya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Baddrol bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) yang merupakan Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Mohammed Firdaus Johari.
Mohammed Firdaus adalah abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Gurun dimenangi Johari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan meraih 10,732 undi namun beliau mengosonglan kerusi itu susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Disember lalu.
Sementara itu, kemunculan Baddrol diyakini bakal menarik sokongan pengundi PN untuk mengukuhkan kedudukan gabungan itu di Kedah pada pilhan Raya negeri PRN, 12 Ogos ini.
Sebelum menyertai Sabah, Badrrol menabur bakti bersama Kedah selama 16 tahun.
Baddrol bermain untuk pasukan Kedah Darul Aman FC sejak 2006 dan pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011 bersama skuad Malaysia B-23.
Kali terakhir beliau mewakili skuad negara pada kejohanan Piala Suzuki AFF 2020. – MalaysiaGazette