Datuk Misbun Sidek.

KUALA LUMPUR – Datuk Misbun Sidek mendakwa perpisahannya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukanlah secara persetujuan bersama seperti yang diumumkan badan induk itu sebelum ini.

Sebaliknya, beliau yang berusia 63 tahun itu, berkata, keputusan berhubung perkara berkenaan sudah dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya.

“Semua keputusan sudah diatur. Kata saya terima tetapi sebenarnya tidak. Padahal ia tidak diulas atau dibentang secara keseluruhan.

“Sebab masa mesyuarat tempoh hari, saya dipanggil dan dimaklumkan bahawa ‘saya tidak lagi perlu datang kerja esok’ dan diberhenti serta merta atas alasan tidak berjaya.

“Apa salahnya jika mereka bagi saya peluang teruskan hingga ke Kejohanan Dunia. Tinggal beberapa bulan lagi. Namun, saya tidak diberi peluang untuk bercakap dan runding,” katanya memetik laporan BH Online ketika sidang media di sini hari ini.

“Kenapa pula saya menjadi sasaran di atas kegagalan keseluruhan pasukan. Walhal saya hanya jaga single (perseorangan). Kenapa pula saya jadi sasaran. Beregu pun tidak berjaya.

“Kalau mereka kata modul saya outdated (ketinggalan zaman) tetapi saya sudah buktikan saya lahirkan tiga pemain nombor satu dunia (Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Wong Choong Hann). Saya guna modul yang sama,” katanya.

Malah Misbun turut mendedahkan beliau berdepan dengan kesukaran untuk melaksanakan program latihan yang sudah disusunnya disebabkan campur tangan daripada pihak pengurusan.

Jumaat lalu, BAM mengumumkan badan induk itu mencapai kata sepakat dengan Misbun untuk menamatkan kontraknya selaku pengarah pembangunan remaja negara lebih awal berbanding yang sepatutnya pada Disember depan.

Ia susulan kemerosotan prestasi dialami pemain remaja termasuklah aksi hambar mereka ketika Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, awal bulan ini apabila pulang dengan tangan kosong.

Ini adalah kali ketiga Misbun berpisah dengan BAM selaku jurulatih selepas kali pertama pada awal 1990-an dan 2011. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast