GEORGE TOWN – Polis sedang menjalankan siastan berhubung satu rakaman video tular yang menunjukkan seorang wanita dipukul beberapa individu di tangga.
Bagaimanapun, berdasarkan video berdurasi lima minit 39 saat itu tidak dapat dikenal pasti lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 51 tahun yang mendakwa bapa kepada wanita tersebut pada Ahad lalu.
Jelasnya, lelaki tersebut mendakwa anaknya yang berusia 24 tahun itu sudah keluar dari rumah sejak Disember 2022 berikutan masalah keluarga.
“Sejak itu mangsa tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi keluarga selain tidak dapat dipastikan kedudukan atau lokasi keberadaan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Soffian menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan rakaman video berkenaan bagi mengelakkan sebarang spekulasi.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette