Asap kelihatan di sebalik bangunan pencakar langit di Moscow. foto X

MOSCOW – Sebuah bangunan pencakar langit di ibu negara Rusia sekali lagi diserang oleh dron, kata Datuk Bandar, Sergei Sobyanin.

Beberapa dron ditembak jatuh semalam, katanya, tetapi “satu terbang ke menara yang sama di kompleks Bandar Moskva” yang disasarkan pada hari Ahad.

Struktur bangunan itu rosak di tingkat 21, tetapi tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa Ukraine terlibat dalam serangan terbaharu itu.

Dan, Kyiv biasanya tidak membuat sebarang komen mengenai isu tersebut.

Dalam satu kenyataan ringkas, Sobyanin berkata, “kaca telah dimusnahkan lebih 150 meter persegi”.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia berkata, dua dron Ukraine telah ditembak jatuh oleh sistem anti-pesawat di wilayah Moscow.

Katanya, satu lagi dron telah terhempas di kompleks bukan kediaman Bandar Moskva selepas “berlaku peperangan elektronik”.

Lapangan terbang Vnukovo di Moscow ditutup seketika, lapor agensi berita Rusia.

Moscow telah berulang kali menuduh Ukraine melakukan serangan dron di wilayahnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk satu di Kremlin – kediaman Presiden Vladimir Putin pada Mei lalu.

Walaupun Ukraine tidak mengaku bertanggungjawab atas insiden tertentu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata, serangan ke atas wilayah Rusia adalah “proses yang tidak dapat dielakkan, semula jadi dan benar-benar adil”. – Agensi