SEMENYIH – Calon muka baharu yang dipertaruhkan oleh UMNO Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Wan Zulaikha Anua yakin prestasi kerja parti, wakil rakyat dan dirinya akan dapat memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, bekas pegawai bank itu mengakui beliau ‘gementar’ apabila diberikan tanggungjawab besar oleh parti menjadi calon pada PRN kali ini.
“Gementar kerana ini kali pertama terpilih tapi sudah berada dalam politik sejak 2001 lagi, saya juga telah membuka cawangan UMNO di Taman Pelangi Semenyih, selain aktif sebagai setiausaha penduduk di kawasan.
“Saya yakin pengundi di sini arif dengan rekod prestasi gerak kerja pimpinan UMNO, banyak telah dikecapi selama ini hasil kerja dan usaha parti bagi memastikan segala keperluan dan kebajikan penduduk Semenyih terjaga,” katanya sebelum ceramah umum yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Eco Hills malam tadi.
Kata Wan Zulaikha juga, sokongan yang beliau terima sebagai ‘new comers’ sepertinya cukup baik dan memberangsangkan.
“Saya bersyukur kerana diterima dengan baik walaupun ada sebahagian penduduk yang tidak kenali saya. Pengalaman yang menarik apabila menjadi calon, saya berjalan kaki dari rumah ke rumah, sokongan dan penerimaan mereka baik sekali,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika berucap, calon Dun Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz mendedahkan bagaimana Wan Zulaikha sanggup meninggalkan kerjayanya dengan gaji lumayan apabila mendapat arahan parti untuk bertanding pada PRN ini.
“Itulah antara komitmen tinggi dan terpuji yang telah ditonjolkan oleh Wan Zulaikha, beliau tidak gentar walaupun memiliki gaji lumayan, menjadi wakil rakyat untuk membela nasib rakyat menjadi fokusnya,” ujar Johan yang mendapat tepukan gemuruh.
Sebelum ini, DUN Semenyih disandang oleh Zakaria Hanafi dari BN setelah merampas kerusi itu daripada PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Mac 2019.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.
Zakaria menewaskan pencabaranya, Mohammad Aiman Zainali (PH) yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.
DUN Semenyih memiliki seramai 53,520 pengundi biasa manakala 109 orang lagi merupakan pengundi tidak hadir. – MalaysiaGazette