Pegawai penyiasat kes sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dua kanak-kanak dicederakan bapa saudara mereka di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Lelaki yang cuba membunuh dua anak saudaranya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang, di sini, semalam direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Daerah Timur Laut ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.

“Suspek mengalami kecederaan akibat kejadian itu dikejarkan ke HPP oleh orang awam sebelum tangkapan dibuat.

“Semakan lanjut mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tujuh hari sehingga 9 Ogos depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Pak cik dengar ‘bisikan’ sebelum cederakan dua anak saudara

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, bayi perempuan berusia 40 hari mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas dihempas ke lantai oleh bapa saudaranya dalam kejadian di Flat Nusantara di sini.

Manakala kakak kepada bayi itu yang berusia tiga tahun pula mengalami kecederaan di mulut serta patah kaki kiri akibat dicampak ke bawah flat dari kediaman mereka di tingkat satu dalam kejadian jam 3.30 petang.

Difahamkan suspek itu mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mencederakan kedua-dua mangsa tersebut. – MalaysiaGazette