KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjemput Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari untuk berdebat.
Jemputan yang dibuat melalui media sosial itu hari ini bagi menyambut seruan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar perbahasan isu-isu negara dilakukan secara berdebat.
“Dua pimpinan anak muda, dalam parti masing-masing yang saya hormati. Saya setuju bahawa kita memerlukan banyak ruang dan peluang bagi pemimpin negara kita berbahas, bertanding, bertembung.
“Dengan mengemukakan idea, solusi dan polisi bagi menyelesaikan masalah-masalah terutamanya masalah orang muda yang semakin mencabar pada hari ini,” kata Syed Saddiq melalui ciapan di Twitter.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sudah sampai masanya untuk menjadikan debat sebagai satu budaya.
Melalui debat menurut beliau, boleh melahirkan polisi yang lebih baik kepada negara.
Justeru beliau berharap Adam Adli dan Ahmad Fadhli dapat menyambut jemputannya untuk berdebat di atas pentas bagi membincangkan hala tuju golongan muda.
Media sebelum ini melaporkan Rafizi akan mengadakan debat dengan Penolong Setiausaha Agung Pas Mohd. Syahir Sulaiman.
Debat berkenaan akan berlangsung pada 9 Januari depan berkaitan isu ekonomi negara.-MalaysiaGazette