KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan mengotakan janji kembali ke Malaysia bagi menyempurnakan konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur pada 17 September ini.
Ia dalam memenuhi rangka Dream Festival Collaboration Vol. 4 bagi menghargai sokongan yang diberikan para peminatnya di negara ini.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur – penyanyi yang memiliki karisma tersendiri itu akan memukau para penggemar dengan penampilan spektakular dengan membawakan himpunan lagu popularnya.
Konsert itu juga bakal membawa peminat menyelusuri perjalanan kerjaya Cakra selama lebih sedekad bermula dengan single perdana, Harus Terpisah yang melonjakkan popularitinya di Indonesia dan Malaysia sejak 2012.
Sebelum, Cakra, 31, membuat kejutan apabila membuat persembahannya pada sesi uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023.
Pada sesi uji bakat yang disiarkan 18 Julai lalu, dia memukau juri program realiti popular itu dengan membawakan lagu, Make It Rain yang dipopularkan Ed Sheeran dan No Woman, No Cry nyanyian asal Bob Marley.
Kemantapan vokalnya yang memiliki karakter sendiri ketika membawakan kedua-dua lagu itu melayakkan penyanyi kelahiran Pangandaran, Jawa Barat tersebut memperoleh empat ‘Yes’ daripada barisan juri.
Keunikan vokal Cakra turut menuai pujian daripada juri digeruni ramai, Simon Cowell.
Simon kagum dengan bakat luar biasa penyanyi berkenaan sekali gus membuka ruang selesa untuk dirinya melangkah ke babak persaingan seterusnya. – MalaysiaGazette