Dr. Maszlee menggesa Dominic Lau tinggalkan PN yang tidak setia kawan.

KUALA LUMPUR – Ramai pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa kasihan kepada Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau yang tidak dibenarkan duduk sepentas dengan pimpinan Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Ini menunjukkan walaupun Pas, parti Bersatu dan Gerakan mendakwa mereka adalah kawan dalam PN tetapi sikap itu tidak ditunjukkan oleh mereka sebaliknya sanggup menghalau kawan sendiri daripada berada di lokasi ceramah.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Maszlee Malik berkata, kalau Dominic ada maruah, beliau sepatutnya bukan sahaja meninggalkan tempat ceramah itu tetapi wajar membawa Gerakan keluar dari PN.

“Tengok PH dan Barisan Nasional (BN). Kita kawan sebenar, bersama di pentas, kita tak halau kawan. Tapi, saya kasihan tengok Presiden Gerakan. Saya nak cakap dengan dia, PN, Pas itu bukan kawan kamu. Tinggalkan mereka.

“Kalau Dominic ada maruah, ada air muka dan ada peribadi, dia harus buat kenyataan umum tinggalkan PN malam ini juga.

“PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan, kita bersama demi negara, bukan bersama untuk dapat jawatan atau sakau semata-mata,” katanya dalam satu ceramah di Ampang malam tadi.

Sebelum ini tular video di media sosial yang mendakwa Dominic ‘dihalau’ dan diminta meninggalkan ceramah mega ‘PN Best’ yang dianjurkan oleh Pas di Sungai Dua, Pulau Pinang malam Selasa lalu.

Presiden Gerakan itu ketika mengulas mendakwa tidak berkecil hati dengan insiden yang berlaku dan menganggapnya sebagai cabaran dalam dunia politik.

Menurut Dr. Maszlee, walaupun BN dan PH pernah bersengketa sebelum ini tetapi apabila membentuk Kerajaan Perpaduan, mereka boleh melupakan perbalahan lalu demi menyelamatkan negara.

Dalam ceramah itu, beliau yang merupakan mantan Menteri Pendidikan mendesak bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab kenapa beliau menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada syarikat usahasama Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza berhubung kontrak untuk membekalkan kenderaan Kerajaan.

Katanya, tender itu telah diluluskan kerajaan PH sebelumnya kepada Syarikat usahasama itu berdasarkan tawaran yang paling murah dan perkhidmatan terbaik yang dijanjikan.

“Tetapi apabila Muhyiddin jadi perdana menteri Kerajaan tebuk atap, beliau tamatkan kontrak itu dan diberikan kepada syarikat yang dalam bidaan iaitu Spanco.

“Akibatnya, syarikat usahasama itu menyaman Kementerian Kewangan menuntut ganti rugi yang mereka tanggung akibat salah laku Muhyiddin,” katanya lagi.

Beliau berkata, Muhyiddin gagal sepenuhnya sebagai perdana menteri, terutama dalam menangani pandemik Covid-19.

“Dua tahun kita dilanda Covid-19 yang teruk berbanding negara lain cepat dan bangkit. Kita tak bangkit kerana waktu rakyat angkat bendera putih, menderita, hilang kerja, tak ada makanan, Muhyiddin dan pimpinan PN sakau duit rakyat.

“Di waktu rakyat hilang kerja, ramai muflis, rakyat terpaksa angkat bendera putih, dia berikan tender kepada syarikat lain.

“Kita lihat hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata sudah belek fail Muhyiddin, kita dapati banyak perkara yang akan didedahkan kepada rakyat terutama jenayah yang dilakukan sewaktu Covid dahulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette