Dr. Asyraf bersama Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di satu pentas politik berkempen untuk memenangkan calon PH-BN.

KUALA LUMPUR – Tiada siapa jangka, UMNO yang ‘bermusuh’ dengan Pakatan Harapan (PH) kira-kira lapan bulan lalu boleh duduk semeja sebagai kawan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap perancangan itu boleh direncanakan oleh manusia tetapi akhirnya Allah jua  menentukan.

Katanya, inilah yang terjadi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan parti lawan iaitu PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

“Bayangkan, lapan bulan lalu, kita berentap dan berlawan dengan PH di pentas politik kerana nak menang dalam pilihan raya.

“Ketika itu masing-masing ego dan angkuh, merasakan parti mereka boleh menang pilihan raya dan membentuk kerajaan secara bersendirian.

“UMNO juga tidak terkecuali apabila parti membuat keputusan untuk menghadapi PRU ke-15 November lalu secara solo dengan slogan No DAP, No Anwar, No PPBM,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Namun, katanya, takdir Allah menentukan dalam keputusan PRU-15 tiada mana-mana parti menang majoriti apatah lagi dapat menubuhkan kerajaan secara bersendirian.

Ketika itu, katanya, Yang di-Pertua Agong dengan penuh kebijaksanaan menitahkan supaya semua parti bergabung untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Menurut Dr. Asyraf, dengan titah itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah berbincang selama empat jam mempertimbangkan segenap aspek.

Akhirnya, UMNO dan BN akur dengan titah Agong dan merungkai ketetapan terdahulu No DAP, No Anwar, No PPBM, demi negara dan rakyat.

“Hasilnya, bukan sahaja UMNO malah semua 19 parti termasuk Sabah dan Sarawak akur dengan titah Tuanku kecuali satu yang masih keras dan sombong iaitu parti dari Perikatan Nasional (PN).

“Benarlah firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”.

“Semoga Allah berkati dan rahmati perjuangan ini dan mengampunkan segala kekhilafan dan keterlanjuran,” katanya.

UMNO dan BN kini bersama PH dalam kempen pilihan raya di enam negeri atas nama perpaduan bagi melawan PN yang terdiri daripada Pas, Bersatu dan Gerakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast