Dr. Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Untuk melihat dan faham nilai intelektual Perdana Menteri, pembangkang diajak melihat sumbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi (J-Kom), Prof, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, pembangkang tidak boleh membuat dakwaan sesuka hati kononnya mahasiswa universiti tidak bersama Anwar.

Malah mereka menuduh Pengerusi Pakatan harapan (PH) itu memasuki universiti untuk berkempen bukan berkongsi ilmu kerana Anwar tidak ada nilai intelektual.

Anwar, menurut mereka, sekadar lulusan ijazah am Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) sahaja.

“Tidak terkata saya dengan dakwaan pembangkang ini. Saya nak ajak pembangkang, kalau hendak faham intelektual Anwar, lihatlah sumbangannya kepada UIA. Beliau adalah Presiden UIA selama 10 tahun dari 1988 hingga 1998.

“Semasa menjadi presiden, beliau mengukuhkan kejayaan universiti yang mengajar dalam aliran bahasa Inggeris dan Arab ini dengan membangunkan Islam sebagai “Ummatan Wasatan”, agama yang menolak ketaksuban dan ekstremisme.

“Hendak kata Anwar tidak intelek bagaimana jika realiti menunjukkan Anwar suka membaca dan suka majlis ilmu,” katanya menerusi hantaran terbaharunya dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut Dr. Mohammad Agus, apabila bercakap, pelbagai nama buku yang disebutnya baik itu John Voll, John Esposito, Samuel Huntington, Francis Fukuyama, Edward Said dan lainnya.

Itu, katanya, belum lagi dikira literatur Islam yang disebutnya, ia memang luar biasa.

“Semasa menjadi Presiden UIA, Anwar menubuhkan International Institute of Islamic Civilisation and the Malay World (ISTAC) yang banyak membincangkan tokoh hebat Islam seperti Imam Ghazali, Al-Farabi dan Ibn Khaldun.

“Sarjana hebat negara seperti Syed Naquib Al Attas, Prof. Kamal Hassan dan Prof. Osman Bakar membangunkan ISTAC ini.

“Anwar bukan sahaja bersama kepimpinan negara menubuhkan UIA pada tahun 1983 tetapi lebih utama beliaulah yang membangunkan UIA. Jasanya kepada UIA besar sekali dalam menjadikan universiti Islam ini both intellectually rigorous and socially relevant,” katanya.

Beliau berkata, seingatnya pada tahun 1985, perbincangan yang cukup popular pada waktu itu ialah Intellectualization of Islam dan Islamization of Knowledge.

Konsep ini, ujarnya, dibangunkan oleh sarjana hubungan antarabangsa Islam yang terkenal, Dr Abdul Hamid AbuSulayman, warga Saudi yang menetap di Washington yang kemudiannya dibawa oleh Anwar menjadi Rektor UIA.

“Inilah sumbangan Anwar yang cukup besar kepada UIA. Dengan usaha beliaulah pelajar sekolah agama boleh menjadi peguam sebab sebelum ini tidak ada universiti yang menerima lulusan sekolah Arab untuk mengikuti kursus undang-undang.

“Jelas, jasa Anwar kepada UIA besar. Sejak 1987, universiti ini telah melahirkan 70,000 graduan dari lebih 100 negara di seluruh dunia sehingga UIA semakin berkembang dan bersaing rapat dengan universiti hebat Malaysia yang lain seperti UM, UKM, USM, UPM dan UTM.

“Sejarah UIA ini perlu diketahui dan mahasiswanya perlu berbangga dengan kehebatan universiti ini sebagaimana saya bangga dengan UKM sebagai universiti watan negara,” kata beliau.

Jelas Dr. Mohammad Agus lagi, dengan jasanya itu, apa pun tanggapan pembangkang terhadap Anwar, beliau telah meninggalkan jariah yang besar untuk rakyat dan negara. – MalaysiaGazette