Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Kerajaan akan melaksanakan sistem pembayaran dalam talian bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen serta cukai jalan kenderaan melalui aplikasi MyJPJ.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan itu akan dilakukan beberapa bulan lagi susulan sistem tersebut kini dalam fasa ujian.

“Kita memang akan buat pembayaran secara dalam talian bagi memperbaharui lesen serta cukai jalan kenderaan supaya orang ramai tidak perlu lagi ke kaunter atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuat pembayaran.

“Buat masa ini kita sedang melakukan beberapa pengujian membabitkan sistem itu supaya ia tidak akan ranap atau menimbulkan kesulitan kepada orang ramai serta menampung kapasiti pengunjung apabila dilancarkan.

“Kita akan laksanakan sistem pembayaran dalam talian ini dalam beberapa bulan lagi kerana objektif kita dalam konsep pendigitalan JPJ adalah untuk mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Anthony merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang di Jalan Lim Lean Teng di sini hari ini.

Mengulas lanjut Anthony berkata, pihaknya masih memberikan pilihan kepada orang ramai untuk memperbaharui lesen serta cukai jalan menerusi dalam talian (digital) atau fizikal.

“Ini susulan masih ramai kemah yang belum dapat menyesuaikan diri menggunakan aplikasi MyJPJ untuk memperbaharui lesen serta cukai jalan.

“Saya faham ini (pendigital JPJ) sudah tentu mengambil masa,” katanya.

Baru-baru ini, Anthony mengarahkan beberapa cawangan JPJ menurunkan notis yang mengatakan JPJ tidak mengeluarkan cukai jalan kenderaan persendirian secara fizikal.

Beliau berkata, setakat ini, hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang memilih untuk menggunakan cukai jalan secara digital menerusi aplikasi MyJPJ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast