KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendakwa Kerajaan Negeri Kelantan memohon supaya Kerajaan Persekutuan menghapuskan hutang berkaitan air berjumlah RM275 juta.
Rafizi mendakwa, permohonan itu disekalikan dalam perbelanjaan tambahan RM50 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Saya tengok satu persatu eh, dia selit juga, saya terus tulis tak setuju. Dia minta apa tau? Untuk menghapuskan hutang-hutang untuk bekalan air yang lepas RM275 juta.
“Saya sudah sebut dalam ceramah dahulu jangan cuba-cuba. Dia bubuh juga kat situ. Lepas ini saya bergaduh dengan Nik bergaduh dengan PM.
“Saya tak setuju bukan sebab saya tak suka kepada orang Kelantan tetapi kerana ia tidak berlaku adil kepada orang lain di seluruh negara,” kata Rafizi.
Menurut Rafizi, Kerajaan Persekutuan telah pun bersetuju untuk memperuntukan RM1.7 bilion bagi menstrukturkan semula bekalan air di negeri itu.
Kerajaan Persekutuan juga bersetuju memberi peruntukan tambahan RM50 juta untuk membantu Air Kelantan antaranya bagi menyediakan lori bekalan air sementara menunggu pembinaan selesai.
“Saya sebagai Menteri Ekonomi tanggungjawab saya meluluskan peruntukan-peruntukan besar itu, takkan Kelantan kamu tak boleh urus air, macam-macam cerita beli Mercedes, khidmat air tak baik.
“Untuk kamu rugi beratus juta yang duit Kerajaan Persekutuan bagi, bila masa nak bayar kamu minta tak nak bayar. Kita maafkan? Habis kalau Johor, Perak minta macam itu?
“Sebab setiap satu ringgit yang saya luluskan semata-mata untuk pimpinan Pas macam ini terlepas daripada tanggungjawab dia membayar hutang. Hutang rakyat, bukan hutang menteri,” kata Rafizi dalam ceramah di negeri itu malam tadi.- MalaysiaGazette