Muhammad Faiz Na'aman

KUALA LUMPUR – Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa hari ini.

Beliau dalam kenyataannya menyatakan, surat rasmi bertarikh 7 Ogos 2023 mengenai peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Adalah dengan berat hati keputusan besar ini terpaksa dibuat memandangkan saya adalah antara 100 ahli dan orang muda terawal menyertai Bersatu ketika penubuhannya tahun 2016.

“Umum tahu, sepanjang saya berada dalam saf kepimpinan pusat, saya telah memainkan peranan agak aktif dalam mempertahankan parti serta pucuk pimpinan di media sosia serta media massa.

“Saya kekal istiqamah dan wala’ dengan kepimpinan parti selama tujuh tahun, walaupun sedar saya jarang diberi peluang serius untuk diperkasakan sebagai pemimpin pelapis walaupun ketika Bersatu dalam kerajaan Persekutuan sejak 2018 hingga 2021,” katanya.

Beliau yang sebelum ini popular dengan status yang dimuatnaik di media sosial berhubung angka 126 berkata, pada pengamatannya, Bersatu sedikit-sedikit telah terpesong dari objektif awal, kononnya untuk menggantikan UMNO.

Katanya, parti telah berjanji untuk memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka baharu terutama yang mempunyai latarbelakang bersih, kelulusan akademik, dihormati serta yang setia kepada parti sejak mula.

“Namun, keputusan kepimpinan yang sering kali mengabaikan suara akar umbi, pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu mengalami kekalahan dalam PRN Melaka dan Johor sebelumnya.

“Sejarah ini juga dilihat bakal berulang dalam PRN enam negeri terutama untuk kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang.

“Pemilihan calon berat sebelah kepada pihak kartel tertentu dan calon bidan terjun yang baru jadi ahli parti untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor menyebabkan terjadi pemberontakan rakyat dengan menjarakkan diri dari kelompok ultra Melayu, ultra liberal atau ekstremis agama,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Faiz memohon maaf kepada semua rakan, andai selama beliau berpolitik dalam wadah Bersatu ada terlajak kata, membuat tuduhan atau label yang kurang enak kepada pihak dikritik.

“Saya hendak membuka lembaran buku baru kehidupan sempena penghijrahan saya ini tanpa menoleh lagi ke belakang.

“Saya harap, kita boleh mengamalkan politik matang berdasarkan rasional, fakta, realiti dan keutamaan dalam membentuk masyarakat adil, cerdik menilai dan tidak taksub dengan individu yang tidak maksum demi membina kembali negara majmuk.

“Kepada rakan yang masih berjuang dalam Bersatu dan keluarga besar Perikatan Nasional (PN), saya hormati pendirian serta semangat kalian,” ujarnya.

Beliau tidak menolak suatu hari mungkin beliau berlainan wadah dan berbeza pendapatan serta pendekatan, namun tetap masih boleh dicari titik persamaan dalam perihal memajukan bangsa dan negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.