Calon Barisan Nasional N.03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap pada media pada sesi Walkabout Ramah Mesra Bersama Peniaga sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Pekan Sungai Besar, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 OGOS 2023.

SUNGAI BESAR – Calon Barisan Nasional (BN) N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin mendedahkan dirinya pernah dihalang daripada memasuki sebuah masjid, di sini, hanya kerana mahu menunaikan solat fardhu.

Mohd Imran berkata, walaupun kehadiran beliau sudah dimaklumkan lebih awal kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sabak Bernam sebelum ini, namun dihalang nazir sebuah masjid.

“Saya menerima mesej yang tular seolah-olah (nazir) tidak membenarkan saya hadir ke masjid tersebut.

“Masjid Al-Mukmin Tali Air 12 Sungai Nibong itu bukanlah masjid yang asing bagi saya, ianya berada dalam kawasan di mana saya menjadi ketua cawangan (UMNO).

“Saya harap mana-mana pihak dalam tempoh berkempen ini tidak mengambil kesempatan dalam isu-isu tertentu hingga menyekat atau tidak membenarkan (solat fardhu).

“Tetapi sekadar kita menyinggah dalam perjalanan kempen kita, takkan itu juga dihalang, saya harap semua pihak terbuka dalam perkara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tangkap layar mesej WhatsApp dipercayai milik seorang nazir masjid yang mencadangkan agar Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sabak Bernam tidak membenarkan Datuk Mohd Imran Tamrin hadir ke sebuah masjid.

Terdahulu, tular tangkap layar mesej WhatsApp di media sosial dipercayai milik seorang nazir masjid yang mencadangkan agar PAID tidak membenarkan Mohd Imran hadir ke sebuah masjid.

“Kami dapat maklum Dato Imran calon DUN Sungai Panjang akan hadir di Masjid al Mukmin waktu Maghrib nanti. Mohon tuan nazir maklumkan kepada kami andai beliau hadir @ tidak,” kata Unit Pengurusan Masjid Daerah, PAID Sabak Bernam.

“Harap pihak yang dicadangkan supaya tidak hadir melainkan jika sebelum ini selalu hadir,” katanya nazir terbabit kepada pihak PAID, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Imran berasa terkilan dengan pengurusan masjid berkenaan sedangkan beliau sendiri pernah memberi sumbangan pembangunan semasa perkhidmatan beliau sebagai wakil rakyat sebelum ini.

“Pada penggal lepas sebenarnya ada banyak pembangunan dan juga bantuan-bantuan yang telahpun saya salurkan khusus untuk pembangunan dan juga kemudahan Masjid Al-Mukmin tersebut.

“Ini termasuk peruntukan pembangunan baik pulih berjumlah RM200,000 dan beberapa bantuan tambahan baik pulih siling, PA system dan sebagainya,” katanya.

Mohd Imran tidak menolak kemungkinan perbezaan fahaman politik antara beliau dan nazir masjid terbabit menyebabkan beliau dihalang menyinggah untuk menunaikan solat fardhu.

“Sebenarnya banyak program kita laksanakan cuma mungkin kebetulan kerana berlaku perbezaan pandangan politik dan kali ini kita bersaing, mungkin itulah yang berlaku.

“Sebenarnya ketika Muafakat Nasional (MN) tempoh hari, saya sentiasa dialu-alukan untuk hadir ke masjid tersebut dalam banyak acara program, termasuk ibadah korban sebelum ini.

“Sebenarnya tak ada apa-apa masalah, cuma mungkin kerana suhu dan suasana politik semasa yang memungkinkan persepsi atau perkara tersebut berlaku,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar itu turut menghormati institusi masjid dan surau daripada disalahgunakan untuk tujuan program dan ceramah politik.

“Saya ada pendirian, saya tidak akan menggunakan institusi masjid dan surau ini sebagai tempat untuk saya adakan program berkempen.

“Atas nasihat dan pandangan, dalam jadual harian saya, saya hanya tinggalkan ruang untuk waktu solat sahaja, saya tak nyatakan saya akan berhenti singgah di masjid ataupun di surau yang mana.

“Kebetulan sampai waktu, saya nak sembahyang, saya akan singgah untuk menunaikan tanggungjawab solat sahaja, bukan program atau aktiviti politik,” katanya.

Mohd Imran turut membidas dakwaan nazir terbabit kononnya beliau jarang menziarahi masjid berkenaan sedangkan beliau tidak pernah gagal hadir ke masjid berkenaan apabila menerima jemputan.

“Dalam kampung saya ada beberapa masjid dan sebenarnya masjid itu bukannya jarang datang, saya kalau ada masa saya ke masjid tersebut, kecuali solat Jumaat.

“Gambaran seolah-olah saya tak pernah membantu atau tidak pernah hadir ke masjid tersebut memang sesuatu tanggapan tersasar sebab ada masa saya akan hadir ke masjid tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette