Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Skim Perubatan Madani diperluaskan ke 11 daerah lain bermula minggu ke dua Ogos ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif berkenaan diperluas untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan.

“Pelaksanaan disasarkan bermula pada minggu ke-2 Ogos 2023 di empat daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (Terengganu).

“Seterusnya, daerah-daerah lain seperti Seremban, Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis akan bermula pada minggu ke-4 Ogos 2023,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan klinik perubatan swasta umum (GP) di daerah terlibat untuk mendaftar sebagai klinik panel skim tersebut bermula hari ini.

Sebagai rekod, Skim Perubatan Madani inisiatif yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Bajet 2023 bertujuan untuk mengatasi kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan.

Skim berkenaan bermula sejak 15 Jun yang lalu di 10 buah fasiliti kerajaan.

Usaha ini dalam masa yang sama dapat membantu rakyat dalam kalangan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di GP.

Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta umum. – MalaysiaGazette