Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, (MINDA- UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bercakap pada sidang media khas 'Ekonomi Madani: Mencapai Sasaran' di Graduate School of Business Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 09 OGOS 2023.

 

BANGI – Gagasan Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diinstitusikan agar tujuh sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali mencadangkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi memastikan dasar ekonomi selama 10 tahun itu dilaksanakan secara sistematik.

Beliau memberi contoh bagaimana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan pasukan khas selepas melancarkan dasar ekonomi bagi menjayakan perkara yang dirancang.

Noor Azlan menegaskan, kebiasaannya gagasan ekonomi yang diperkenalkan hanya diingati rakyat selama dua minggu selepas dilancarkan.

“(Ekonomi Madani) Memerlukan tindakan, kebersamaan. Bagi saya perlu ada satu pasukan yang dedikasi. Setidak-tidaknya pengalaman kita semasa era Datuk Seri Najib dengan adanya Pemandu, beliau ada satu pasukan untuk bekerjasama dengan kementerian.

“Pasukan tersebut diberikan mandat dan kuasa untuk menyerahkan laporan terus kepada Perdana Menteri berkaitan kemajuan yang dicapai.

“Mereka merancang bersama kerajaan dan kementerian sebagai induk kepada setiap sektor. Mereka perlu bekerjasama dengan sektor terbabit (misalnya) bagaimana hendak meningkatkan perdagangan supaya dapat semula kedudukan sebagai peneraju ekonomi Asia,” katanya.

Noor Azlan berkata demikian dalam sidang media khas Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat Mencapai Sasaran anjuran MINDA-UKM di sini hari ini.

Menurut beliau setiap perancangan bagi mencapai tujuh sasaran yang digariskan dalam Ekonomi Madani memerlukan kerjasama pelbagai jabatan, kementerian dan swasta.

“Contohnya seperti Perdana Menteri sebut Specialty Chemistry high value E&E, beliau mungkin memerlukan infrastruktur daripada Jabatan Kerja Raya, memerlukan tenaga manusia datang daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, memerlukan Kementerian Sumber Manusia.

“Kementerian Sumber Manusia sahaja tidak boleh hendak kawal pekerja asing. Semua tindakan ini tidak boleh dilakukan secara sendirian,” jelas beliau.

Beliau yang menyokong penstukturan semula ekonomi menegaskan, tindakan itu perlu disegerakan bagi mengelakkan negara daripada berhadapan dengan masalah.

Pakar ekonomi itu yakin tujuh sasaran yang ditetapkan dalam Ekonomi Madani boleh dijayakan termasuk peratusan pendapatan buruh meningkat 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan berbanding hanya 37.4 peratus ketika ini.

Noor Azlan berkata, negara juga boleh menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus atau lebih rendah dengan pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.-MalaysiaGazette