Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq beramah mesra bersama penyokong Ceramah Mega MUDA sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Ruang Parking Berhadapan Restoran Ayza, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 09 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tinggal dua hari saja lagi masa untuk semua calon PKR yang bertanding di enam negeri Sabtu ini mengisytiharkan aset masing-masing

Beliau menunggu kepimpinan parti itu berbuat demikian sehingga tempoh berkempen tamat pukul 11.59 malam Jumaat ini.

Menurut beliau, semua calon MUDA telah mengisytiharkan harta masing-masing dan diumumkan secara terbuka untuk tatapan rakyat menerusi laman undimuda.my.

“Dua tiga minggu lepas, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya tidak mahu layan permintaan saya supaya semua calon PKR isytiharkan aset dengan alasan mereka sudah umumkan pada PRU-15.

“Mereka umum itu ketika masih pembangkang, sekarang sudah lapan bulan berada dalam kerajaan, mereka mesti isytiharkan aset terbaharu.

“Kalau calon MUDA boleh buat (umum), kenapa PKR tidak boleh buat pada PRN ini?” soal beliau ketika ditanya media mengenai desakannya itu.

Beliau berkata demikian selepas hadir memberi semangat dan sokongan kepada calon MUDA DUN Kota Anggerik dan Batu Tiga dalam Ceramah Mega Edisi Shah Alam di sini malam tadi.

Rafizi dalam jawapannya baru-baru ini menyatakan, PKR sudah mengisytiharkan harta lebih awal lagi dan tidak timbul lagi untuk berbuat demikian.

Ditanya jika Perikatan Nasional (PN) menang di enam negeri pada pilihan raya negeri boleh menukar kerajaan pusat, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Realitinya ini adalah pilihan raya negeri. PRN ini tidak melibatkan kerusi Parlimen.  Macam mana pula jika PN menang nanti boleh tukar kerajaan pusat,” katanya. – MalaysiaGazette