MARANG – Pas dijangka mencatatkan keputusan yang lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada hari ini berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan sambutan luar biasa sepanjang kempen diadakan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jangkaan tersebut pada pemerhatiannya sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin meningkat.
”Saya melihat semangat dan dari yang saya lakukan lawatan, sangat mengalakkan. Insya-Allah kita mendapat kejayaan. Insya-Allah dijangka lebih besar daripada keputusan di Parlimen. Kita harap begitu,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Rusila di Ru Rendang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Hadi meningatkan para pengundi supaya tidak memandang ringan terhadap tanggungjawab mereka.
”Saya seru sekali lagi kepada seluruh pengundi-pengundi tunaikan tanggungjawab mengundi kerana mengundi ni kewajipan memilih pemimpin yang mewakili kita, memilih kerajaan memerintah kita.
”Ini satu amanah yang sangat besar. Tunaikan tanggungjawab ini dan jangan pandang ringan. Jangan pandang mudah khususnya bagi orang Melayu Islam. Mesti tunai tanggungjawab ini dengan bersungguh,” ujarnya.
Seramai 9,674,456 orang layak engundi di PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.- MalaysiaGazette