BATU PAHAT – UTHM Education & Training Sdn. Bhd. (UET) menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan teknikal dan kejuruteraan bersama Blitz Training & Consultancy Sdn. Bhd. (Blitz) bagi membangunkan bidang pendidikan teknikal dan kejuruteraan.

Kerjasama tersebut bertujuan menggalakkan perkongsian pengetahuan, memperkukuhkan program-program akademik dan memajukan kecekapan teknikal serta kemahiran insaniah dalam kalangan pensyarah, pelajar serta pihak industri.

Ketua Pegawai Operasi UET, Prof. Madya Dr. Mohamad Hisyam Mohd Hashim menerusi kenyataan media berkata, sebagai permulaan, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UET dan Blitz telah diadakan.

Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui termasuk Pensijilan Program Kecekapan Teknikal dan Kemahiran Insaniah bagi memastikan program-program pendidikan teknikal dan kejuruteraan mematuhi standard yang ditetapkan, serta diberikan pensijilan berkualiti.

Selain itu, kerjasama itu juga melibatkan pemberian latihan kepada pensyarah dan pelajar khususnya untuk pembangunan profesional bagi membantu mereka memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa industri.

Kerjasama itu juga melibatkan penubuhan sebuah kolej pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang akan memberikan akses kepada program akademik serta latihan kecekapan teknikal yang berkualiti.

UET dan Blitz juga merancang untuk mengembangkan platform e-pembelajaran yang interaktif dan inovatif dalam usaha memajukan pendidikan secara dalam talian.

Kedua-dua pihak juga akan berkerjasama dalam mengadakan seminar dan konferensi bagi memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan di peringkal lokal mahupun antarabangsa.-MalaysiaGazette