Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa meletakkan jawatan serta merta kerana parti mereka kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan kemenangan besar PN di semua negeri membuktikan majoriti orang Melayu menolak Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.

“UMNO tidak lagi relevan dan UMNO kalah teruk. PN berjaya menangi kerusi majoriti Melayu dan campuran. PN sudah boleh ganti UMNO.

“Ini membuktikan perubahan besar-besaran orang Melayu dan bukan Melayu tidak lagi menerima pakatan rapuh Anwar dan Zahid.

“Maka kedua mereka mesti ambil tanggungjawab moral dan letak jawatan PM dan TPM serta merta atas kekalahan teruk PH dan UMNO dalam PRN15,” katanya pada sidang media di pusat penjumlahan undi di sini malam tadi.

Dalam keputusan rasmi PRN15, PN memenangi 43 kerusi di Kelantan, 32 (Terengganu), 12 (Pulau Pinang), 34 (Kedah), 22 (Selangor) dan enam di Negeri Sembilan.

Beliau percaya, PN boleh mencapai kemenangan yang lebih besar lagi jika peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

Kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu, kejayaan PN mempertahankan Kelantan, Kedah dan Terengganu membuktikan sokongan orang Melayu kepada gabungan parti itu.

Begitu juga di Selangor, katanya, PN telah memenangi 22 kerusi berbanding lima kerusi sebelum ini yang kebanyakannya adalah kerusi majoriti Melayu.

“PN dapat sokongan pengundi Melayu di Selangor. Kita berjaya menafikan dua pertiga PH Selangor yang dianggap kubu kuat mereka.

“Percayalah, kalau peratusan keluar mengundi tinggi, PN berjaya merampas Selangor.

“Di Pulau Pinang, gelombang sokongan Melayu memenangkan kita 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu dan ini tamparan hebat kepada Anwar dan Zahid,” katanya.

Ditanya mengenai jawatan Menteri Besar di tiga negeri yang dimenangi PN, Muhyiddin berkata, Pas sudah mengemukakan senarai nama.

“Tunggu lagi kita akan kemukakan nama ini untuk mendapat perkenan sultan dan bakal yang berhormat kena bersiap sedia untuk mengangkat sumpah jawatan,” katanya.

Menjawab soalan, adakah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor, Muhyiddin kata, tunggu dulu. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Masa ko kalah teruk di Melaka dan Johor, ko tak pulak letak jawatam yer penyamun..Yg menang pun PAS..bukan kau…PKR ada negeri, PAS ada negeri, BN ada negeri sendiri, DAP pun ada negeri sendiri..Bersatu menang dan tubuh kerajaan negeri mana? haaaa lawak laaa penyamun ni

  2. PN kini menjadi payung untuk orang2 Melayu bernaung. Parti masa hadapan orang2 Melayu.

    Tahniah diatas kemenangan bergaya. Ianya masej jelas kepada pakatan hancing. Teruskan istiqamah dan kerja kuat untuk memenangi PRU akan datang.

Comments are closed.