Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

KUALA TERENGGANU – Pola pengundian rakyat Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu lebih dipengaruhi sentimen isu nasional daripada prestasi kerajaan negeri itu.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kajian dilakukan mendapati sentimen berkenaan memberi kesan rasa keterancaman terhadap bangsa dan agama itu telah berjaya dibawa secara naratif oleh penyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN) sekali gus memberi undi multak serta kemenangan besar.

”Pola pengundian di Terengganu banyak dipengaruhi sentimen nasional berbanding performance kerajaan. Walaupun PN sapu bersih 32-0 namun pola pegundi Melayu Muslim banyak berkait dengan isu nasional bukan fokus pada isu tempatan.

”Isu tersebut dijadikan paling kuat dan memberi undi besar kepada Pas. Sebagai bukti kajian kami menunjukkan Terengganu antara enam negeri PRN, Terengganu berada di tangga kelima bagi tahap kepuasan hati rakyat atau pengundi terhadap kerajaan negeri.

”Kepuasan sama ada isu berkait ekonomi, bekalan air, pengurusan, sampah, urusan tadbir tanah dan hal kebajikan itu hanya pada skor 60 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Namun rakyat Terengganu tetap memberi undi semaksimum mungkin kerana faktor nasional seperti gabungan parti politik dan kerjasama antara PH, BN bersama DAP itu banyak mendominasi pengaruh pengundi.

Sementara itu, faktor BN tumbang di negeri Terengganu apabila gagal mempertahankan 10 kerusi berkait rapat dengan isu berbangkit terhadap krisis dalaman parti sendiri dan juga gabungan parti menerusi Kerajaan Perpaduan.

Sebagai protes, katanya, sebahagian pengundi tidak keluar mengundi pada Sabtu lalu dan ada yang memberi undi BN kepada Pas.

Menurutnya, rakyat Terengganu kelihatan tidak yakin melihat sinergi BN bersama PH sejak hari penamaan calon di Terengganu berbanding kombinasi Pas dan Bersatu.

”Antara faktor kekalah BN ada pengundi ada teras isu berbangkit. Mereka tidak puas hati pada UMNO sendiri sebab kerjasama BN dan PH, kedua krisis kepimpinan pihak atasan.

”Dua elemen ini menyebabkan mereka sebahagian tidak keluar mengundi, sebahagian mengundi PN. Seperti hari penamaan calon, calon PH tidak diiring BN dan begitu sebaliknya.

“Kalau nak bergerak lebih jauh dalam politik Terengganu, buktikan kerjasama itu ampuh dan meyakinkan,” katanya.

Justeru bagi meneruskan survival politik dan menawan kembali kepercayaan rakyat Terengganu, UMNO perlu kembali peringkat akar umbi dan memberi servis terbaik kepada komuniti bermula dari bawah selain mengeratkan kerjasama bersama PH.

”Kerjasama perlu dipereratkan. Ini kerana pada PRN lepas kita tengok BN dan PH hanyak mengelak pertembungan dari sesama sendiri sahaja sedangkan peringkat jentera seperti Pas dan Bersatu yang lebih nampak keserasian mereka.

”PH-BN asing-asing tidak berpadu, rakyat tidak yakin kepada kerjasama yang tidak kukuh seperti itu,” katanya. – MalaysiaGazette