Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu wajar mempertimbangkan untuk meminda perlembagaan bagi melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan berbanding mewujudkan kerajaan backbencher.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ADUN lantikan membolehkan fungsi semak dan imbang dilakukan dengan dengan lebih berkesan dan bersistematik.

Meskipun kewujudan ahli backbencher (penyokong) yang akan berperanan seakan sama fungsi tersebut namun ia tidak akan sama seperti dimainkan oleh pembangkang dalam membahaskan sesuatu isu di dalam sidang dewan legislatif di Dewan Undangan Negeri (DUN).

”Sebenar secara peribadi politik monopoli akan merugikan rakyat kerana tidak ada fungsi semak dan imbang yang berkesan.

“Walaupun kerajaan nanti mengatakan fungsi tersebut oleh dibuat oleh NGO dan kakitangan kerajaan sebagainya tetapi tidak sama semak dan imbang di dalam DUN, dewan legislatif DUN yang tertinggi dalam hieraki sebuah negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Yusri bimbang sistem kerajaan monopoli berlaku namun yakin kepimpinan di negeri itu bijak dalam pentadbiran Terengganu demi kepentingan rakyat Terengganu.

“Saya merasa bimbang dengan monopoli kerajaan negeri tetapi mungkin dengan mandat penuh 32-0 ini, kerajaan negeri boleh memikirkan untuk meminda perlembagaan negeri untuk melantik ADUN lantikan untuk menjalankan fungsi semak dan imbang.

”Kerajaan negeri  mungkin boleh melantik wakil NGO atau ada kesudian boleh lantik dari pembangkang di DUN,” katanya.

Jelasnya, fungsi semak dan imbang oleh backbencher sebenarnya tidak begitu berkesan kerana dalam apabila konsep parti menguasai kerajaan, ia banyak ianya menyokong dasar, polisi, projek pelaksanaan oleh kerajaan.

”Walaupun mereka masih berbahas bawa kepentingan rakyat tapi teliti teguran dan sebagainya tidak sama dimainkan oleh wakil pembangkang yang lebih fokus dan kritikal sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar sementara, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengatakan Terengganu akan mewujudkan ahli backbencher (penyokong) yang akan berperanan menegur setiap kepincangan serta bertindak sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.

Beliau berkata keputusan itu akan diambil kerana tiada wakil daripada Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai ADUN dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos lalu.

Pada PRN lalu, Pas telah menang semua 32 kerusi Dun Terengganu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast