Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dibebaskanempat pertuduhan yang mendakwa beliau menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu yakin empat pertuduhan salahguna kuasa untuk rasuah yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik.

Ia juga penyalahgunaan kuasa mahkamah oleh pihak tertentu, dakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekoran pembebasannya hari ini beliau akan terus berusaha untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai tindakan yang dibuat oleh pihak yang didakwa menganiayanya.

“Sebelum ini, perkara seumpama ini tidak pernah berlaku, saya dimaklumkan ini adalah kes pertama.

“Sejak awal lagi pertuduhan berkenaan adalah bermotifkan politik sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau undang-undang jenayah lain,” katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berterima kasih kepada semua terutama keluarga yang sentiasa memberi semangat untuk menegakkan keadilan dan menentang kemungkaran.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhyiddin bagi empat pertuduhan salah guna kuasa suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin selaku pemohon untuk membatalkan empat pertuduhan berkenaan.

Dalam prosiding itu, Muhyiddin diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan itu diterima daripada tiga syarikat dan seorang individu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah lepas dan bebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan rasuah

1 Komen

  1. Bagaimana pihak mahkamah boleh memberikan ruang untuk kerajaan pakatan hancing membuat pertuduhan2 berkaitan dengan politik kebencian seperti ini.

    Ia secara terang2an telah menyalahgunakan proses mahkamah. Terlalu banyak masa dan wang ringgit telah dibazirkan untuk perkara2 yang tak berfaedah?

    Rakyat semakin hari semakin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dan kos bil elektrik yang melambung2 tinggi. Lebih baik fokus kepada perkara yang membebani rakyat!

Comments are closed.