KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas secara rasmi selepas mengetip kad perakam waktu pukul 9.07 pagi di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu memulakan tugas pertamanya dengan mempengerusikan mesyuarat majlis kerajaan negeri bersama 10 barisan Exco yang turut dilantik dengan portfolio masing-masing.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli manakala ADUN Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat pula Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.
Wan Sukairi Wan Abdullah (ADUN Wakaf Mempelam) menjadi Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ariffin Deraman (ADUN Alur Limbat) dilantik sebagai Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna dan Dr. Azman Ibrahim (ADUN Jabi) sebagai Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi.
Mohd Khuzaini Ab Rahman (ADUN Kota Putera) dilantik Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau manakala Hanafiah Mat (ADUN Cukai) diberi portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (termasuk skop pengurusan bencana).
Selain itu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi (ADUN Batu Buruk) menjadi Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah dan Hishamuddin Abdul Karim (ADUN Tepuh) sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO.
Maliaman Kassim (ADUN Ajil) sebagai Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional dan Datuk Razali Idris (ADUN Kijal) pula sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Barisan Exco daripada tujuh muka lama pada sesi lalu termasuk menteri besar dan menampilkan empat muka baharu iaitu Muhammad Khalil, Hishamuddin, Maliaman dan Razali.
Semalam Ahmad Samsuri dan barisan Exco melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering kira-kira pukul 3.18 petang Selasa lalu. – MalaysiaGazette