MELAKA – Pihak berkuasa negeri akan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap surau dalam pusat beli belah di negeri ini dari semasa ke semasa.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia bagi memastikan kemudahan itu sentiasa dalam keadaan baik dan bersih.
Menurutnya, kejadian video yang tular mengenai keadaan tidak memuaskan dua buah surau termasuk dalam pusat beli belah terkenal di negeri ini sejak semalam tidak sepatutnya berlaku.
“Apa yang berlaku jadi wake up call dan saya sendiri akan ambil tanggungjawab pastikan perkara seperti ini tidak akan berulang.
“Setiap surau dalam pusat beli belah di bawah pengurusan swasta selepas ini kita akan pegi lawat mungkin secara mengejut untuk melihat keadaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini. Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Rais mengulas demikian mengenainpenularan dua klip video di aplikasi TikTok sejak semalam yang memaparkan keadaan daif dua surau berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak namun mahu situasi itu boleh diperbaiki sebelum Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya juga akan minta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi perhatian terhadap isu ini yang tidak elok dibiarkan begitu sebagai tempat mulia umat Islam beribadat.
“Apatah lagi, dalam keadaan kita sedang menuju TMM2024 dan kita tidak mahu kes sebegini menjadi bualan penduduk dan pelancong,” katanya. – MalaysiaGazette