IPOH – Seorang pekerja warga asing maut dipercayai tertimbus simen, semasa menjalankan kerja memecahkan simen di sebuah kilang simen di daerah Kinta di sini, Isnin lepas.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian 3.15 petang itu dilaporkan berlaku ketika mangsa lelaki berusia 26 tahun itu, bersama dua orang rakan sekerja sedang menjalankan kerja memecahkan simen yang keras, pada lurangmenggunakan tukul dan rod besi.

“Simen yang berada di dalam silo telah tersembur keluar melalui lurang tersebut dan menyebabkan mangsa terjatuh dan ditimbus oleh simen tersebut.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan, namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” menurut kenyataan itu.

JKKP dalam kenyataan itu memaklumkan siasatan awal mendapati, mangsa merupakan pekerja am sebuah syarikat kontraktor yang dilantik untuk melakukan kerja pembersihan silo, di kilang simen tersebut.

Susulan itu, JKKP telah mengeluarkan satu notis larangan kepada majikan supaya menghentikan kerja-kerja pembersihan silo, sehingga tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak majikan.

Kenyataan itu turut memaklumkan JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab, sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast