KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Adnan Yaakob tidak peduli jika ada pihak yang marah terhadap kenyataannya yang mendakwa ‘UMNO sudah hendak bungkus’ yang tular baru-baru ini.
Bekas Menteri Besar Pahang selama 19 tahun itu bertegas, apa yang dinyatakannya merupakan suara kebanyakan rakyat.
“Saya menjadi wakil rakyat selama lapan penggal. Ini semua takdir Allah belaka. Arwah ayah saya pernah menjadi Ketua UMNO cawangan, Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan Setiausaha UMNO Bahagian.
“Alhamdulillah, saya terdedah awal kepada politik UMNO sejak kecil. Apa yang saya sebutkan dalam video itu adalah suara terbanyak rakyat. Kalau ada yang marah dan ada yang suka, ia bukan urusan saya.
“Saya anggap ia ada hikmahnya. Para ulamak pernah berkata: “Tidak bergerak sebutir zarah melainkan dengan izin Allah,” kata Adnan dalam pesanan WhatsApp yang dilihat oleh MalaysiaGazette.
Media hari ini melaporkan, Adnan menyertai bekas kepimpinan UMNO yang menggambarkan prestasi parti itu kian menjunam susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Dalam satu video berdurasi 25 saat yang tular semalam, beliau yang dikenali sebagai Tok Nan mengatakan, “UMNO pun dah nak bungkus dah, bungkus lipat. Banyak ceritanya”.
Menurut Adnan, dialog ringkas itu dikeluarkan ketika beliau terserempak dengan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam.
“Saya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikuti perbicaraan 1MDB, Datuk Seri Najib. Sebagai chambering student proses cross-examination ini sangat penting. Tengah hari saya keluar untuk ke Bangsar ada temu janji makan.
“Semasa keluar, Tan Sri Muhiyiddin juga keluar dari Mahkamah Tinggi satu lagi selesai kes defamation suit beliau terhadap Datuk Puad Zarkashi.
“Saya bersalam dengan Tan Sri Muhiyiddin. Saya kata kepada beliau ‘UMNO ni bungkus dah, bungkus lipat. Ia bukan kenyataan akhbar tetapi dicuri rakam dan direkod oleh petugas media,” jelasnya kepada satu kumpulan WhatsApp.
Adnan turut menjelaskan beliau telah terdedah kepada UMNO ketika berumur sembilan tahun dan turut membantu kempen Pilihan Raya Umum 1964 semasa berumur 14 tahun antara tugas termasuk membawa alat kempen dan mengepam lampu gasolin.
Beliau menjadi ahli UMNO semasa berumur 19 tahun dan dipilih sebagai wakil rakyat semasa berumur 36 tahun dan menjadi ketua bahagian semasa berumur 37 tahun.
Pada usia 40 tahun, beliau menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri Pahang dan dilantik sebagai Menteri Besar semasa berumur 49 tahun.
Beliau bersara sebagai Menteri Besar semasa berumur 68 tahun dan bersara sebagai wakil rakyat pada usia 72 tahun.
Pada PRN lalu UMNO hanya menang 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandingi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Lokman Adam, Ab Raof, Puad Zarkasi, Khaled Nordin, Isham Jahil dan tunggu mungkin Ahmad Maslan juga kata Adnan tu BEKAS MB PAHANG yang KECEWA dan itu adalah “PANDANGAN PERIBADI” yang remeh-temeh serta tidak menggugat ZAHID HAMIDI.. hahaha ambil ubat asyik syok sendiri je kawanan-kawanan UMNO ni…