Muhyiddin dikalungkan bunga malai daripada penyokong pada Majlis Kesyukuran Pengerusi PN di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun tidak sepatutnya mengemukakan rayuan terhadap kes rasuahnya baru-baru ini.

Jelasnya, keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu tidak mempunyai asas untuk dirayu.

“Selesai sahaja keputusan mahkamah dibuat, dakwat belum basah, Pejabat Peguam Negara buat keputusan untuk merayu terhadap kes yang telah diputuskan.

“Apa yang telah diputuskan oleh hakim yang membicarakan kes saya bahawa sebenarnya tidak ada seusatu asas kukuh untuk mereka merayu memang diperuntukkan Mahkamah Tinggi  kepada Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, itu prosesnya,” katanya dalan ucapan Majlis Kesyukuran Pengerusi PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) malam ini.

Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hanzah Zainudin, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan kepimpinan PN.

Pada Selasa lalu, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Muhammad Jamil membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan berkenaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, keempat-empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

Namun Muhyiddin berkata, barisan peguamnya bersedia sekiranya Peguam Negara membuat rayuan kepada keputusan tersebut.

“Ini soal sistem perundangan kehakiman dalam negara kita.

“Seperti disebutkan kita akan lawan habis-habisan dan mesti ada keputusan adil dan saksama dan tidak dipengaruhi politik kotor hanya nak mendera atau mengambil tindakan untuk memuaskan nafsu politik semata-mata.

“Itu bukan satu perkara baik dilakukan mana-mana pemimpin,” katanya lagi.

Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik Bersatu.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd juga bagi milik parti itu.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12 juta bagi milik partinya daripada Datuk Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

AGC fail rayuan berhubung pembebasan Muhyiddin – Peguam Negara