Anggota bomba dan anggota Angkatan Pertahanan Awam membawa keluar mangsa-mangsa kejadian pesawat ringan yang terhempas di sekitar bandar Elmina, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Setakat ini hanya satu mayat mangsa yang sempurna dikeluarkan dari lokasi nahas pesawat yang mengorbankan 10 nyawa di perumahan Elmina Central Park 8, Seksyen U16 di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mayat sempurna itu adalah mayat penunggang motosikal yang rentung dalam kejadian pada pukul 2.40 petang tadi.

“Kita juga mengenal pasti pemandu kereta yang turut terkorban dalam tragedi berkenaan sebagai pemandu e-hailing namun belum dapat menghubungi ahli keluarga.

“Kita telah berusaha untuk menghubungi ahli keluarga mangsa tetapi tiada ahli keluarga yang menjawab panggilan kami lagi,” katanya dalam sidang media selepas turun meninjau lokasi nahas di sini malam ini.

Menurutnya, pasukannya mendapati lima lagi mayat yang ditemui di lokasi pesawat terhempas dalam keadaan tidak sempurna.

Menurut beliau, ada mayat yang tidak berkepala dan tiada beberapa anggota badan yang dipercayai sebahagian daripada lapan kru dan penumpang yang berada dalam dalam pesawat.

“Apa pun keutamaan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi adalah untuk menemui saki-baki mangsa nahas pesawat di lokasi kejadian.

“Sementara itu pencarian kotak hitam akan diuruskan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara,” katanya sambil menambah pasukan SAR bekerja bertungkus lumus tanpa henti untuk mencari mangsa dan serpihan bangkai pesawat terhempas itu.

Tegasnya lagi, kawasan nahas pesawat di sepanjang Jalan Persiaran Elmina akan terus ditutup sepenuhnya sehingga notis lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast