20 NGO mewakili suara lebih 5,000 komuniti India tampil menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Lebih 20 wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam kalangan komuniti India hari ini tampil memberikan sokongan dan ikrar kepada kepimpinan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kumpulan itu yang juga mewakili lebih 5,000 suara masyarakat India itu merayu supaya politiking dihentikan dan tumpuan dihalakan kepada memperkasakan rakyat di negara ini.

Jurucakap kumpulan itu, Saravana Kumar menggesa supaya ahli politik dan wakil rakyat berhenti berpolitik untuk agenda segelintir pihak dan mula bekerja untuk rakyat di negara ini.

Kata Saravana, Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah tamat dan kini wujud satu lagi ura-ura mahu ‘menjatuhkan’ Ahmad Zahid dengan menggesanya meletak jawatan dalam parti.

“Sehingga bila semua ini? Untuk beberapa bulan akan datang, semua wakil politik yang sebenarnya terpilih untuk menjaga hak, kepentingan, kebajikan rakyat di negara ini akan terabai kerana ‘permainan politik’ ini.

“Isu ini akan menjadi isu nasional, bukan lagi agenda ekonomi rakyat atau menyelesaikan hal serta isu rakyat. Adakah ini satu keperluan? Kami yang mewakili suara masyarakat India ketika ini agak ‘tertekan’ dengan pelbagai isu menyelebungi komuniti kami termasuklah masalah pendidikan, kemiskinan, ekonomi, kad pengenalan dan banyak lagi.

“Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama gandingan beliau (Zahid Hamidi) sudah berikrar untuk menyelesaikan isu kami, kedua-dua pemimpin ini juga akui secara terbuka komuniti ini sangat memerlukan perhatian di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sidang media di Madras Cafe hari ini.

Kata Saravana, hakikatnya setiap kali menjelangnya pilihan raya, ramai pemimpin akan tampil untuk undi masyarakat India dan ianya akan diberikan dengan harapan segala permasalahan komuniti ketiga terbesar di negara ini akan selesai.

“Tetapi habis sahaja satu pilihan raya, ada pula agenda politik yang lain. Jadi bagaimana dan bila agaknya isu-isu yang menyelubungi kami untuk berpuluh tahun ini akan mendapat penyelesaian dan keutamaan?

“Kami mohon, cukuplah. Kita semua terhimpit dengan segala macam isu ‘pandemik’. Ketika kerajaan ini ditubuhkan dengan istilah Madani bukan sahaja dengan kehadiran Pakatan Harapan tetapi juga Barisan Nasional, kami cukup gembira kerana kami tahu gabungan ini akan berjaya dan akhirnya isu kami akan selesai,” ujarnya.

Kumpulan NGO itu juga menegaskan sejak sembilan bulan lepas, Ahmad Zahid telah tampil sebagai pemimpin yang agresif dalam memperkasakan kepentingan rakyat tidak kira kaum dan latar belakang.

Jelas mereka, Ahmad Zahid juga telah banyak memperuntukkan dana untuk menyelesaikan isu-isu setempat masyarakat India malah juga tampil dengan pelbagai perancangan yang sedang dilaksanakan dan juga akan dilaksanakan dalam tempoh beliau menjawat jawatan TPM.

“Jawatan TPM ini juga penting kerana ianya akses terus kepada PM. Kedua-dua mereka bekerja keras dalam memastikan kebajikan kita terjaga, perjuangan untuk terus mengangkat martabat kaum India dilaksana jadi mengapa dalam masa sama adanya suara-suara gulingkan pemimpin seperti ini? Tolonglah. Cukup,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast