Chan Chun Kuang menunjukkan pelan Fasa 3 Projek Tebatan Banjir di Perkampungan Cenderawasih yang telah dimulakan

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang mahu sistem perparitan di kawasan itu ditambah baik segera sebelum musim tengkujuh tiba.

Beliau berkata, selain pelan jangka panjang, rancangan segera perlu dijalankan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat yang menjejaskan penduduk.

Justeru, satu sesi perbincangan dan dialog di antara 50 orang wakil penduduk dengan agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diadakan hari ini.

“Selain itu, perjumpaan ini adalah susulan daripada satu laporan banjir yang kita pernah sediakan sebelum ini, di mana kita kenalpasti 11 kawasan hotspot banjir kilat, tapi sekarang difahamkan bertambah menjadi 14 kawasan,” katanya.

Chan Chun Kuang

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi dialog tersebut yang diadakan di BCIC Lodge, Kompleks Dagangan Mahkota, di sini, hari ini.

Bagi rancangan jangka panjang, katanya, JPS memaklumkan bahawa Fasa 3 Projek Tebatan Banjir di Perkampungan Cenderawasih sudah dimulakan dan ia akan menyelesaikan masalah utama banjir di kawasan DUN Semambu.

“JPS memaklumkan Projek Tebatan ini akan mempunyai dua pam yang terbesar di Malaysia. Katanya, kalau satu padang bola yang penuh dengan air, mereka hanya mengambil masa tiga saat untuk mengeluarkan air itu.

“Bagaimanapun sehingga Mei lalu, baru 3.8% selesai pembinaan, dan ia mengambil masa lima tahun untuk siap,” tambahnya.

Sesi Dialog dihadiri 50 orang wakil penduduk bersama wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan banjir di kawasan Semambu, Kuantan.

Jelas beliau lagi, MBK kini dalam proses melaksanakan penambahbaikan saluran longkang sedia ada di beberapa kawasan terbabit dan akan membuat pemantauan berterusan.

Bagaimanapun, jelas Chun Kuang, menerusi sesi perbincangan hari ini, beliau berharap penduduk dapat gambaran penuh usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh agensi kerajaan terlibat untuk mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette