Ahmad Maslan.

PONTIAN – Barisan Nasional (BN) akan memberi penjelasan kepada pengundi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram mengenai sebab parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, UMNO juga akan menjelaskan mengenai persetujuan DAP untuk menerima empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum BN menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ahmad berkata, ia perlu diperjelaskan memandangkan ketidakfahaman pengundi terhadap dua perkara itu dilihat menjadi punca BN dan UMNO kalah di tiga negeri serta pertambahan kerusi oleh Perikatan Nasional di Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lepas.

“Jentera BN akan memberikan mesej dan penjelasan kepada rakyat Johor di dua tempat ini (Pulai dan Simpang Jeram) agar mereka faham, sekali gus dapat mengurus sentimen mereka dengan baik.

“DAP telah bersetuju kepada kedudukan Islam; kedudukan Raja-Raja Melayu; kedudukan Bahasa Melayu dan kedudukan hak istimewa orang Melayu (dalam Perlembagaan),” katanya kepada pemberita selepas Program Bersama Pemimpin dan Masyarakat MADANI dan Kempen Kibar Jalur Gemilang@Pejabat UMNO Bahagian Pontian, di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata kesemua 26 bahagian parti di negeri itu akan turut bekerja keras membantu jentera Amanah dalam PRK di Pulai dan Simpang Jeram.

Beliau berkata, setiap bahagian UMNO akan menjadi ‘bapa angkat’ kepada pusat daerah mengundi (PDM) yang telah ditentukan.

“Dua bahagian iaitu Pulai dan Simpang Jeram (Bahagian Bakri) akan menjadi tuan rumah dan 24 bahagian yang lain akan datang sebagai bapa angkat.

Ahmad berkata, beliau sendiri akan mengetuai jentera UMNO di Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip akan mengetuai jentera UMNO di Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, diikuti pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian 9 September.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas. – Bernama

1 Komen

  1. Lapan bulan lebih UMNO ceom molot dengan DAP tak habis-habis beri penerangan.. hey Ahmad Maslan apa kau buat selama ini hingga PRK Pulai pun kelamkabut

Comments are closed.