Sebahagian daripada peserta yang menyertai konvoi motosikal berkuasa besar di Putrajaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 66 motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi sempena 66 tahun sambutan kemerdekaan yang sedang diraikan seluruh rakyat Malaysia ketika ini.

Konvoi anjuran Media Home Communication itu bermula dari Putrajaya kemudian ke Sepang dan seterusnya ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan berakhir di Alor Gajah, Melaka.

Acara pelepasan konvoi itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud yang mewakili Kementerian Perpaduan Negara.

Pengerusi Media Home Communication, Shahir Adnan berkata, turut menyertai konvoi itu, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud, wakil-wakil Kementerian Perpaduan Negara, NGO dan komuniti setempat.

Katanya, dengan berteraskan semangat Bangsa Malaysia, konvoi turut mengibarkan Jalur Gemilang dan menyantuni rakyat di setiap laluan dengan mengagihkan bendera kepada semua.

“Pelbagai program turut diatur di setiap ‘pitstop’ bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Usaha ini dilaksanakan bagi memupuk semangat Jalur Gemilang pada Bulan Kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir berkata, pihak berharap program seperti itu akan dapat mendekatkan hubungan antara kerajaan bersama komuniti setempat disamping menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan.

“Jalur Gemilang harus dijadikan sebagai identiti perpaduan di negara kita.

“Perpaduan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum, menjadikan negara ini unik dan seluruh rakyat perlu bersatu hati untuk mengamalkan semangat perkongsian, saling hormat-menghormati dan menanam sikap toleransi sesama kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette