pesawat burung
Situasi berhampiran kawasan pesawat terhempas di sekitar bandar Elmina, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang, Mohd Ezairol Rezan Zainol menyangkal dakwaan kononnya Beechcraft 390 Premier 1 terlanggar burung helang (bird strikes) sebelum terhempas berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.

Bekas jurulatih penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, sangat jarang burung helang terbang pada aras 1,500 kaki sekitar kawasan persediaan untuk mendarat seperti di Subang.

Menurut beliau, di ruang udara Subang, bird strikes kebiasaannya berlaku ketika pesawat betul-betul dekat dengan landasan mendarat pada aras di bawah 500 kaki.

“Saya sendiri pernah dua kali pengalaman terkena bird strikes dan alhamdulillah selamat mendarat di Subang.

“Kalau tak tahu apa itu bird strikes, boleh tonton filem Sully, Miracle On The Hudson lakonan Tom Hanks kalau ada masa nanti,” katanya dalam hantaran Facebook.

pesawat burung elmina
Mohd Ezairol Rezan Zainol – Gambar: Facebook

Baru-baru ini, tular dalam TikTok berhubung teori pesawat tersebut mungkin terlanggar burung atau dron sebelum terhempas.

Pesawat yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru itu terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park pada pukul 2.48 petang, Khamis lalu.

Nahas itu mengorbankan kesemua individu dalam pesawat serta seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang turut berada di lokasi berkenaan ketika kejadian.

Mohd Ezairol juga menjelaskan, kilauan cahaya yang dilihat sejurus sebelum pesawat tersebut terhempas bukan disebabkan api atau letupan.

Beliau berkata, cahaya yang dilihat dalam rakaman video yang tular itu adalah dari lampu pendaratan.

“Juruterbang macam saya ini sekali tengok sudah tahu itu lampu pendaratan. Beribu kali sudah kami tengok lampu itu dik…” jelasnya.

Mohd Ezairol memberitahu, berdasarkan pengalamannya sendiri melakukan pendaratan beratus kali di Subang, lokasi tersebut juga bukan kawasan laluan angin lintang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya bersabar dan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa berhubung punca nahas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast