Zaid Najib RM42 juta
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim tidak bersetuju dengan langkah diambil UMNO mengheret istana dalam kancah politik ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, September ini.

Sebaliknya, ahli UMNO yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan, biro politik parti boleh memikirkan alasan lain untuk dijelaskan kepada rakyat mengapa Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

“Saya nak menyeru kepada UMNO, hendak berkempen, hendak perjelaskan kepada rakyat, buatlah, tetapi jangan heret istana masuk dalam politik. Ini cari bala namanya.

“Buatlah road show dan perjelaskanlah kepada rakyat mengapa kita sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan alasan munasabah, bukan babitkan istana sehingga tertanam dalam persepsi rakyat, istana yang jadi punca.

“Sungguh pun benar istana arah bentuk kerajaan perpaduan, itu terpulang kepada parti masing-masing untuk setuju atau tidak, bukan disebabkan istana,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilaporkan berkata, BN akan memberi penjelasan kepada pengundi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor mengenai sebab parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Kata beliau, UMNO juga akan menjelaskan mengenai persetujuan DAP untuk menerima empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum BN menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 lalu.

Menurut Zaid, sebolehnya pemimpin parti cuba sedaya upaya mengecualikan istana dari kemelut politik yang dihadapi mereka, tidak meletakkan puncanya kepada pihak lain.

“Istana perlu dineutralkan, dikecualikan, baharulah rakyat tidak marah dan luahkan macam2 dalam media sosial.

“Bila kita heret istana dalam politik, ia akan memberi kesan kepada rakyat yang hendak membela parti dengan memuatnaik status menyalahi undang-undang.

“Bila jadi begitu, tidak pasal-pasal rakyat pula dipanggil polis, dituduh menghasut dan dikenakan tindakan Akta Multimedia. Padahal, ini semua kerana kita,” katanya.

Beliau berkata, melibatkan istana dalam kancah politik tidak memberi keuntungan jangka Panjang kepada UMNO.

Sebaliknya, UMNO mesti mempertahankan keputusan yang mereka buat itu dengan menggunakan fakta dan asas politik, bukan mengheret istana. – MalaysiaGazette