KUALA LUMPUR – Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran akaun semasa (CA) 2023 Malaysia pada 2.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun prestasi perdagangan luar lebih perlahan dan prospek pertumbuhan KDNK yang sederhana.
Dalam nota penyelidikan pada Isnin, bank pelaburan itu menjelaskan kesuraman berterusan perdagangan luar dalam keadaan kelembapan ekonomi global yang didahului ekonomi maju ekoran persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dan pemulihan di China yang lebih perlahan berbanding jangkaan berkemungkinan membawa kepada lebihan CA yang lebih kecil bagi 2023.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan lebihan akaun semasa kekal disokong oleh pemulihan berterusan sektor pelancongan susulan peningkatan ketibaan pelancong secara beransur-ansur selain jangkaan kembalinya aliran masuk modal asing,” menurutnya.
Kenanga menambah, lebihan CA bagi imbangan pembayaran meningkat kepada RM9.1 bilion atau 2.1 peratus daripada KDNK pada suku kedua 2023, daripada RM4.3 bilion atau 1.0 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2023.
“Peningkatan lebihan CA ini disumbangkan terutama oleh defisit yang lebih kecil dalam akuan perkhidmatan dan akaun premier, manakala akaun barangan kekal dalam lebihan walaupun lebih rendah.
“Ini juga disumbangkan oleh penyebut lebih rendah, memandangkan KDNK nominal turun 1.2 peratus tahun ke tahun, penguncupan pertama sejak suku keempat 2020 (-1.1 peratus suku ke suku; suku pertama 2023: -5.0 peratus),” tambahnya.
Maybank Investment Bank Bhd pula menjelaskan unjuran lebihan CA bagi setahun penuh 2023 sebagai peratusan KDNK akan kekal pada 2.4 peratus namun nilai lebihan CA dikurangkan kepada RM43 bilion daripada RM47 bilion (separuh pertama 2023: RM13.4 bilion atau 1.5 peratus daripada KDNK; 2022: RM55.1 bilion atau 3.1 peratus daripada KDNK) berikutan semakan terhadap unjuran pertumbuhan KDNK sebenar 2023 kepada 4.0 peratus daripada 4.5 peratus.
Sementara itu, menurut Public Investment Bank Bhd kedudukan imbangan pembayaran Malaysia kekal negatif pada suku kedua 2023 walaupun lebihan CA meningkat kepada RM9.1 bilion daripada RM4.3 bilion pada suku pertama 2023.
Akaun perkhidmatan mencecah RM11.3 bilion dan mencatatkan defisi lebih kecil pada suku kedua 2023 (-RM12.8 bilion pada suku pertama 2023), tambahnya.
“Begitu juga, akaun kewangan terus menguncup dengan jumlah yang lebih besar iaitu RM11.6 bilion pada suku kedua 2023 daripada aliran keluar bersih RM2.4 bilion pada suku pertama 2023.
“Imbangan Pembayaran keseluruhan merekodkan defisit RM12.4 bilion pada suku kedua 2023 berbanding defisit RM5.7 bilion pada suku pertama 2023,” jelasnya. – MalaysiaGazette