KUALA LUMPUR – Agrobank perluas jangkauan perkhidmatan perbankan dengan menyediakan mesin teler automatik (ATM) dan mesin deposit tunai ( CDM) ke kawasan pedalaman Orang Asli OneStop Centre (OAOSC) Kampung Bawong, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, langkah ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan rakyat terutamanya kumpulan tumpuan mendapat akses yang pantas dan mudah kepada perkhidmatan perbankan.
“Agrobank merupakan bank pertama yang menyediakan perkhidmatan ATM dan CDM di Bawong dan berdekatan perkampungan Orang Asli sekitar Kuala Kangsar. Memandangkan jarak ATM atau bank di Sungai Siput yang berada agak jauh, para penduduk yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut terpaksa keluar dan bergerak sejauh 27 kilometer.
“Justeru, kami mengambil inisiatif ini dengan mewujudkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Negeri Kedah dalam meningkatkan tahap capaian penggunaan perkhidmatan perbankan asas dan berusaha menyokong keperluan masyarakat luar bandar. Kami anggarkan dengan adanya perkhidmatan ini, ia dapat membantu mempercepatkan urusan perbankan lebih kurang 15 ribu orang,” tambahnya.
Dengan adanya mesin ATM dan CDM ini segala urusan perbankan lebih mudah dan segala transaksi boleh dilaksanakan dan tidak perlu lagi ke kaunter bank.
Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Dianggarkan lebih 500 akaun baharu Agrobank bakal dibuka.
Dalam masa yang sama Agrobank sedang merangka pelbagai inisiatif menarik perbankan khusus untuk pelanggan kawasan luar bandar. – MalaysiaGazette